Intervensi untuk meningkatkan pematuhan kepada nasihat pemakanan untuk mencegah dan menguruskan penyakit kronik orang dewasa

Penyakit kronik adalah punca utama kematian di seluruh dunia. Walaupun pengamalan diet yang sihat adalah diiktiraf sebagai satu komponen yang penting untuk pencegahan dan pengurusan penyakit kronik, ramai individu yang berisiko atau mempunyai penyakit kronik tidak mematuhi nasihat pemakanan yang disyorkan. Kaedah yang digunakan untuk memudahkan perubahan dalam tabiat pemakanan melalui nasihat pemakanan (ditakrifkan dalam ulasan ini sebagai 'intervensi') boleh meningkatkan pematuhan klien terhadap nasihat pemakanan. Oleh itu, kami mengkaji kajian-kajian intervensi yang bertujuan untuk meningkatkan pematuhan kepada nasihat pemakanan untuk mencegah dan menguruskan penyakit kronik di kalangan orang dewasa.

Kami mengenal pasti 38 kajian yang melibatkan 9445 peserta yang mengkaji beberapa jenis intervensi bagi meningkatkan pematuhan kepada nasihat pemakanan untuk mencegah dan menguruskan banyak penyakit kronik. Penyakit-penyakit kronik utama yang terlibat adalah penyakit kardiovaskular, diabetes, hipertensi dan penyakit buah pinggang. Intervensi yang menunjukkan peningkatan sekurang-kurangnya satu hasil kepatuhan diet adalah: telefon susulan, video, kontrak, maklum balas, alat-alat pemakanan dan intervensi yang lebih kompleks yang melibatkan pelbagai intervensi. Walau bagaimanapun, intervensi-intervensi ini juga menunjukkan tiada perbezaan dalam beberapa hasil kepatuhan diet berbanding dengan kumpulan kawalan/penjagaan biasa, ini menyebabkan keputusan intervensi yang paling berkesan untuk meningkatkan nasihat pemakanan tidak muktamad. Menariknya, semua kajian yang melibatkan klien dengan penyakit buah pinggang melaporkan sekurang-kurangnya satu hasil kepatuhan diet yang menunjukkan perbezaan yang signifikan secara statistik menyebelahi kumpulan intervensi, tidak mengira apa jua intervensi yang disediakan. Majoriti kajian yang melaporkan hasil kepatuhan diet yang menyebelahi kumpulan intervensi berbanding dengan kumpulan kawalan/rawatan biasa dalam jangka pendek juga melaporkan tiada kesan yang ketara pada masa kemudian. Kajian-kajian yang menyiasat intervensi seperti sesi berkumpulan, sesi individu, peringatan, sekatan dan teknik perubahan tingkah laku melaporkan hasil kepatuhan diet tidak menunjukkan perbezaan yang signifikan secara statistik yang menyebelahi kumpulan intervensi. Akhirnya, intervensi secara umumnya adalah dalam tempoh yang singkat, kajian menggunakan kaedah yang berbeza untuk mengukur pematuhan dan kualiti kajian adalah secara umumnya rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Teoh Ru Jian Jonathan (Penang Medical College). Disunting oleh MW Chan (Kolej Perubatan Pulau Pinang). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi jonathanteoh_c2017@ms.pmc.edu.my atau chanmw@pmc.edu.my

Tools
Information