Membandingkan pelbagai jenis antibiotik yang rutin diberi kepada wanita semasa pembedahan caesar untuk mengurangkan jangkitan

Apakah isunya?

Kami ingin tahu jika memberi antibiotik tertentu secara rutin semasa pembedahan Caesar mengurangkan bilangan wanita dan bayi dengan jangkitan, apabila dibanding dengan antibiotik jenis lain. Kami juga melihat jika terdapat perbezaan dalam kesan-kesan buruk. Antibiotik jtama yang kami pertimbangkan adalah yang mensasarkan jangkitan yang paling lazim dilihat selepas bersalin, oleh itu kami melihat terutamanya kepada sefalosporin berbanding penisilin. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan (kajian rawak terkawal) untuk menjawab soalan ini (tarikh carian terkini 2 Disember 2019).

Mengapakah ini penting?

Wanita yang menjalani pembedahan caesar lebih berkemungkinan untuk jangkitan berbanding wanita yang bersalin bayi melalui vagina. Jangkitan ini boleh berpunca dari rahim, insisi pembedahan, atau berlaku pada lapisan rahim (endometritis). Jangkitan boleh menjadi serius, menyebabkan, misalnya, abses di pelvis atau jangkitan dalam darah. Kadangkala ia boleh menyebabkan kematian ibu, terutamanya di persekitaran yang rendah sumber. Teknik pembedahan yang baik adalah penting untuk mengurangkan jangkitan, bersama penggunaan antiseptik kulit dan pemberian antibiotik sebelum pembedahan caesar bermula. Walau bagaimanapun, antibiotik boleh menyebabkan kesan-kesan buruk kepada ibu, seperti loya, muntah, ruam kulit dan dalam kes-kes yang jarang, tindak balas alahan. Ibu dan bayi boleh mengalami seriawan (kandida). Antibiotik yang diberi kepada wanita sekitar waktu bersalin juga boleh mengubah flora usus bayi dan mungkin mengganggu perkembangan sistem imun bayi.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami menyertakan 39 kajian, yang mana 33 kajian melibatkan 8073 wanita dan bayi mereka menyediakan data. Kualiti kajian-kajian individu secara amnya tidak jelas, yang menyebabkan kepastian bukti keseluruhan rendah atau sangat rendah. Tiga daripada 33 kajian dijalankan dengan pembiayaan syarikat ubat. Kebanyakan kajian memberi antibiotik semasa atau selepas pengapitan tali pusat, walaupun amalan kini sering memberi antibiotik sebelum insisi pada kulit.

Lapan kajian dengan data 1540 wanita melaporkan sefalosporin antistafilokokus (generasi pertama dan kedua) berbanding penisilin spektrum luas yang ditambah penyekat betalactamase. Kami mendapati antibiotik-antibiotik ini mungkin sama berkesan antara satu sama lain dalam mengurangkan endometritis dan demam ibu. Kami tidak pasti antibiotik mana yang lebih baik untuk jangkitan luka, jangkitan saluran urinari, dan kesan-kesan buruk pada ibu seperti loya, muntah, cirit-birit dan ruam kulit. Kami tidak menemui sebarang bukti hasil jangka panjang untuk ibu selepas mereka keluar dari hospital, atau tentang sebarang hasil untuk bayi. Hanya satu kajian kecil (75 wanita) melaporkan jangkitan darah (sepsis) dalam kalangan ibu, dengan terlalu sedikit peristiwa untuk mengenalpasti sebarang perbezaan jelas antara antibiotik-antibiotik.

Kami mengenalpasti tiada kajian dengan bukti tentang sefalosporin antistafilokokus berbanding lincosamide, juga sefalosporin antistafilokokus berbanding lincosamide yang ditambah aminoglikosida. Kajian-kajian lain melihat kepada pelbagai bilangan perbandingan yang sangat besar dengan data yang tidak cukup untuk membuat sebarang kesimpulan yang kukuh tentang perbandingan-perbandingan spesifik.

Apakah maksudnya?

Semasa pembedahan caesar, sefalosporin antistafilokokus dan penisilin ditambah penyekat betalactamase mungkin sama berkesan untuk mencegah jangkitan kepada ibu, walaupun kami tidak menemui bukti jelas untuk banyak hasil penting. Khususnya, kami tidak menemui bukti yang menjelaskan kesan-kesan antibiotik ini terhadap bayi, atau sebarang kesan jangka panjang terhadap wanita dan kanak-kanak. Ini terutamanya bagi kajian-kajian yang memberi antibiotik sebelum insisi pembedahan, kerana ia mungkin sampai kepada bayi. Bagi perbandingan lain yang disertakan dalam ulasan ini, data adalah kurang. Banyak kajian-kajian adalah lama dan kurang maklumat tentang reka bentuk kajian dan hasil-hasil penting, sering melibatkan bilangan kecil wanita dan peristiwa-peristiwa. Penyelidikan tentang antibiotik resistan ubat perlu juga dipertimbangkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information