Aloe vera bagi merawat luka akut dan kronik.

Aloe vera adalah tumbuhan berair yang menyerupai kaktus, yang tumbuh dalam iklim tropika. Aloe vera digunakan secara meluas dalam pelbagai bahan kosmetik termasuk krim dan kelengkapan dandan diri. Beberapa kajian yang dijalankan pada haiwan mencadangkan Aloe vera mungkin membantu untuk penyembuhan luka. Aloe vera boleh digunakan secara topikal sebagai krim atau gel, atau boleh disapu ke atas luka. Para penulis sorotan Cochrane ini mahu mencari bukti sama ada Aloe vera menggalakkan penyembuhan luka pada manusia dengan luka akut (misalnya melecet, torehan pembedahan dan terbakar) dan luka kronik (misalnya luka yang dijangkiti kuman, ulser arteri dan vena). Sorotan ini mendapati bahawa tiada bukti kajian yang mencukupi bagi menjawab soalan ini.

Kesimpulan Pengarang: 

Buat masa ini tiada bukti dari kajian klinikal rawak terkawal berkualiti tinggi yang boleh menyokong penggunaan Aloe vera sebagai agen topikal atau pembalut luka untuk rawatan luka akut dan kronik.

Baca abstrak penuh ...
Latar Belakang: 

Aloe vera adalah tumbuhan berair yang menyerupai kaktus dari keluarga Liliaceae yang biasa ditanam di kawasan beriklim tropika. Kajian haiwan telah mencadangkan bahawa Aloe vera boleh membantu mempercepatkan proses penyembuhan luka.

Matlamat: 

Untuk menentukan kesan produk berasaskan Aloe vera (sebagai contoh pembalut luka dan gel topikal) bagi penyembuhan luka akut (misalnya melecet, torehan pembedahan dan terbakar) dan luka kronik (misalnya luka yang dijangkiti kuman, ulser arteri dan vena).

Kaedah Pencarian: 

Kami menjalankan carian di Daftar Khusus Kumpulan Luka Cochrane (9 September 2011), Daftar Pusat Kajian Klinikal Terkawal Cochrane (CENTRAL) (Perpustakaan Cochrane 2011, Isu 3), Ovid MEDLINE(2005 hingga Ogos Minggu 5 2011), OvidMEDLINE (Dalam Proses & Petikan Bukan-Index Lain 8 September 2011), Ovid EMBASE (2007 hingga Minggu 35 2010), Ovid AMED (1985 hingga September 2011) dan EBSCO CINAHL (1982 hingga 9 September 2011). Kami tidak menghadkan tarikh atau bahasa.

Kriteria Pemilihan: 

Kami memasukkan semua kajian klinikal rawak terkawal yang menilai keberkesanan Aloe vera, produk berasaskan aloe dan kombinasi Aloe vera beserta pembalut luka lainnya sebagai rawatan untuk luka akut atau kronik. Tidak ada sekatan dari segi sumber, tarikh penerbitan atau bahasa. Satu langkah objektif penyembuhan luka (sama ada bahagian luka sembuh sepenuhnya atau masa untuk penyembuhan sempurna) adalah capaian utama.

Pengumpulan Data dan Analisis: 

Dua orang penulis sorotan menjalankan pemilihan kajian, penggalian data dan penilaian risiko bias secara berasingan, dengan disemak oleh penulis sorotan ketiga.

Keputusan Utama: 

Tujuh kajian layak untuk dimasukkan dengan jumlah peserta seramai 347 orang. Lima kajian yang melibatkan pesakit dengan luka akut menilai kesan Aloe vera pada luka akibat terbakar, pesakit buasir yang telah menjalani pembedahan dan biopsi kulit. Lendir Aloe vera tidak meningkatkan penyembuhan luka berbanding silver sulfadiazine (nisbah risiko (NR) 1.41, 95% selang keyakinan (SK) 0.70 hingga 2.85). Pengurangan masa penyembuhan dengan Aloe vera didapati selepas pembedahan pesakit buasir (NR 16.33 hari, 95% RK 3.46-77.15) dan tidak ada perbezaan dalam peratus pesakit yang sembuh sepenuhnya pada rawatan susulan selepas biopsi kulit. Bagi mereka yang mempunyai luka kronik, satu kajian mendapati tiada perbezaan statistik yang signifikan dalam penyembuhan ulser tekanan dengan Aloe vera (NR 0.10, 95% SK -1.59 hingga 1.79) dan dalam kajian penyembuhan luka surgikal melalui cara sekunder, Aloe vera melambatkan penyembuhan dengan signifikan (min perbezaan 30 hari, 95% SK 7.59 hingga 52.41). Kepelbagaian klinikal menghalang meta-analisis. Kualiti kajian yang rendah menunjukkan bahawa keputusan kajian harus diterima dengan penuh hati-hati kerana mereka mempunyai risiko bias yang tinggi.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Ami Fazlin Syed Mohamed.Sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi ami@imr.gov.my. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia; hayatikk@usm.my).

Tools
Information