Mesej utama
Disebabkan kekurangan bukti kukuh, faedah memberi asid amino awal kepada bayi yang dilahirkan sebelum 37 minggu kehamilan adalah tidak jelas.
Apakah asid amino?
Asid amino adalah blok unit asas yang bergabung untuk membentuk protein. Badan kita menghasilkan beberapa asid amino, tetapi ia tidak boleh membuat sembilan asid amino penting yang kita perlukan daripada diet. Protein adalah penting untuk pertumbuhan dan perkembangan yang sihat. Bayi baru lahir mendapat asid amino penting daripada susu ibu dan susu formula.
Apakah itu pramatang, dan apakah beberapa risiko pramatang pada bayi?
Bayi pramatang mempunyai rizab tenaga yang terhad dan mungkin tidak dapat menyusu sejurus selepas lahir. Ini sering menyebabkan keperluan pemakanan mereka diberikan secara vena (pemakanan parenteral).
Apakah yang ingin kami cari?
Kami ingin mengetahui sama ada pemberian asid amino dalam tempoh 24 jam pertama kelahiran berbanding selepas 24 jam pertama kelahiran kepada bayi yang lahir sebelum 37 minggu kehamilan dapat meningkatkan pertumbuhan dan perkembangan, mengurangkan kemungkinan kematian dan menjejaskan beberapa bahan kimia yang biasa berada dalam darah.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian di mana bayi yang dilahirkan sebelum 37 minggu kehamilan, secara rawak menerima asid amino awal (dalam 24 jam selepas kelahiran) atau lewat (selepas 24 jam kelahiran).
Apa yang kami temui?
Kami menemui 9 laporan (383 bayi) dalam carian kami. Walau bagaimanapun, tidak semua hasil ukuran yang kami ingin ketahui dilaporkan dalam setiap kajian. Data terhad daripada beberapa bayi menunjukkan bahawa asid amino awal mungkin tidak menyebabkan sebarang peningkatan dalam pertumbuhan. Asid amino awal mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada bahan kimia dalam darah. IA juga boleh menyebabkan peningkatan besar dalam protein dalam tiga hari pertama selepas kelahiran; walau bagaimanapun, kaitan ini dengan kesihatan bayi tidak jelas. Bukti yang ada tidak cukup kuat untuk menyokong pemberian awal asid amino kepada bayi yang dilahirkan sebelum 37 minggu kehamilan.
Sejauh manakah bukti ini adalah terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Mac 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).