Latar belakang
Sekurang-kurangnya satu daripada tujuh kanak-kanak dan satu daripada 50 orang dewasa mengalami ekzema atopik, keadaan kulit yang dicirikan oleh ruam merah yang gatal. Pesakit yang mempunyai ekzema atopik alah kepada benda-benda dalam persekitaran, seperti hama habuk rumah, dan pendedahan kepada alahan mereka boleh menyebabkan keadaan ekzema mereka lebih teruk. Imunoterapi alergen khusus ialah rawatan yang melibatkan suntikan atau titisan di bawah lidah yang mengandungi bahan yang menyebabkan alahan kepada seseorang. Rawatan ini boleh mengurangkan keterukan alahan seseorang dan oleh itu mungkin dapat mengurangkan simptom ekzema atopik. Kami menilai sama ada imunoterapi alergen khusus adalah lebih baik atau lebih teruk berbanding rawatan standard atau plasebo dalam mengurangkan keterukan dan simptom penyakit seperti yang dinilai oleh peserta, ibu bapa atau penyelidik.
Soalan ulasan
Adakah imunoterapi alergen khusus merupakan rawatan yang berkesan untuk pesakit ekzema atopik?
Ciri-ciri kajian
Bukti adalah terkini sehingga Julai 2015. Kami menjumpai 12 kajian, dengan 733 peserta, yang termasuk kanak-kanak dan orang dewasa. Kajian telah dijalankan di pusat alahan pakar di sembilan negara. Tempoh kajian adalah antara empat bulan hingga tiga tahun. Imunoterapi telah diberikan kepada peserta dalam empat cara yang berbeza. Pengeluar alergen membiayai tujuh daripada 12 kajian tersebut.
Keputusan utama
Kami tidak menjumpai bukti daripada kajian tersebut dalam ulasan kami yang SIT mungkin merupakan rawatan yang berkesan untuk ekzema atopik, seperti yang dinilai oleh peserta atau ibu bapa untuk keterukan dan simptom penyakit. Kami menjumpai bukti yang terhad bahawa SIT boleh memperbaiki keterukan penyakit yang dinilai oleh penyelidik. Imunoterapi tidak mendatangkan lebih kemudaratan daripada rawatan standard atau plasebo.
Kualiti bukti
Secara keseluruhannya, kualiti bukti adalah rendah. Kami menurunkan kualiti terutamanya disebabkan oleh keputusan yang berbeza antara kajian, kekurangan pembutaan dalam beberapa kajian, dan kajian yang agak sedikit melaporkan hasil yang berkaitan dengan pesakit. Kajian masa depan harus menggunakan formulasi alergen berkualiti tinggi dengan rekod prestasi yang terbukti dalam keadaan alahan lain serta harus memasukkan ukuran hasil yang dilaporkan oleh peserta.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).