Soalan ulasan
Kami menyemak bukti yang sedia ada untuk keselamatan dan keberkesanan mengawal tekanan berbanding mengawal isipadu udara yang dihantar semasa pengudaraan mekanikal dalam kalangan orang dewasa yang kritikal dengan kegagalan pernafasan akut akibat kecederaan peparu. Kami menemui tiga kajian yang relevan.
Latar Belakang
Kegagalan pernafasan akut yang disebabkan oleh kecederaan akut peparu (ALI) dan sindrom sukar bernafas akut (ARDS) adalah sebab lazim untuk kemasukan ke unit rawatan rapi (ICUs) di seluruh dunia. Satu pertiga sehingga separuh orang dengan ALI/ARDS meninggal dunia di ICU, di hospital atau semasa rawatan susulan. Orang yang mempunyai ALI/ARDS dirawat dengan mesin pernafasan untuk memberi peparu mereka masa untuk pulih. Namun demikian, kerosakan peparu boleh menjadi lebih buruk jika jumlah isipadu udara yang dihantar oleh mesin ini adalah terlalu besar, atau jika tekanan yang dicapai di peparu semasa pengudaraan terlalu tinggi.
Kami ingin tahu sama ada dengan mengawal tekanan di dalam peparu semasa pengudaraan dengan mengubah isipadu udara yang dihantar (pengudaraan tekanan terkawal, atau PCV) adalah lebih baik daripada membenarkan tekanan peparu yang berubah apabila isipadu udara yang tetap dihantar (pengudaraan isipadu terkawal, atau VCV).
Ciri-ciri kajian
Tiga kajian rawak membandingkan PCV dan VCV dengan sejumlah 1089 orang dewasa dengan ALI/ARDS dari 43 ICUs di lima negara berpendapatan tinggi. Tiada kajian telah dibiayai industri. Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2014.
Keputusan utama
Kita tidak pasti sama ada jumlah pesakit yang meninggal dunia di hospital adalah sangat berbeza antara mereka yang dirawat dengan PCV dan VCV. Bagi setiap 1000 orang yang dirawat dengan VCV, 636 kematian dilaporkan. Berdasarkan keputusan kami, kita boleh menjangka antara 210 kurang kematian dan 13 lebih banyak kematian dengan PCV. Kami mendapati bahawa kesan terhadap kematian dalam ICU dan kematian pada 28 hari juga tidak menentu. Keputusan kami termasuk kemungkinan VCV atau PCV adalah lebih baik untuk mengurangkan tempoh pengudaraan atau mendatangkan kerosakan peparu yang disebabkan oleh pengudaraan (barotrauma). Tiada kajian yang diberikan maklumat yang boleh dipercayai berkenaan dengan takat kegagalan organ lain yang akan terjejas oleh jenis pengudaraan. Kajian juga tidak memberi maklumat mengenai perbezaan dalam risiko jangkitan atau kualiti hidup berikutan discaj dari penjagaan intensif.
Kualiti bukti
Bukti keseluruhan bagi kematian adalah berkualiti sederhana. Bagi hasil seperti tempoh pengudaraan, barotrauma dan kegagalan organ, bukti dihadkan oleh jumlah kajian yang kecil, kaedah berbeza yang digunakan dalam kajian atau perbezaan dalam laporan keputusan. Semua faktor ini menjadikan tafsiran sukar.
Kesimpulan
Bukti yang sedia ada tidak mencukupi untuk mengesahkan sama ada PCV menawarkan apa-apa kelebihan berbanding VCV dalam meningkatkan hasil bagi orang yang mempunyai kecederaan peparu akut yang menggunakan mesin pernafasan. Kajian and bilanganorang tambahan yang diberikan PCV dan VCV mungkin boleh memberikan bukti yang lebih menyakinkan. Bukti ini seterusnya boleh menjadi dasar kepada kesimpulan yang lebih kukuh.
Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi linoby@uitm.edu.myDisunting oleh Tan May Loong