Latar belakang
Lebih kurang satu bilion manusia serata dunia terkesan dengan hipertensi (tekanan darah tinggi) Lebih lagi, hipertensi meningkatkan risiko serangan strok dan serangan jantung. Akupunktur merupakan rawatan utama di dalam Perubatan Tradisional Cina, di mana jarum-jarum nipis dicucukkan ke dalam kulit pada titik-titik tertentu. Akupunktur telah diguna untuk merendahkan tekanan darah dan mengurangkan simptom hipertensi.
Ciri-ciri kajian
Kami melakukan ulasan sistematik ke atas pengkalan-pengkalan data perubatan bagi mencari kajian-kajian klinikal yang membandingkan keberkesanan akupunktur terhadap kawalan (akupunktur palsu (lakonan), tanpa rawatan, atau ubatan) ke atas tekanan darah dan keselamatan di kalangan pesakit hipertensi dewasa. Keputusan adalah terkini hingga Febuari 2017.
Keputusan utama dan kepastian ke atas bukti
Kami menemui 22 kajian yang melibatkan 1744 orang. Kajian tidak melihat kepada jumlah kematian dan kesihatan umum. Empat kajian membandingkan akupunktur dengan akupunktur palsu dan kemungkinan terdapat sedikit penurunan pada tekanan darah dalam jangka masa yang pendek (satu hingga 24 jam). Kajian-kajian lain mempunyai kualiti yang sangat lemah. Tidak terdapat bukti bagi penurunan tekanan darah untuk jangka panjang oleh akupunktur yang berguna bagi rawatan hipertensi. Kami tidak dapat menilai keselamatan akupunktur kerana hanya sebilangan kecil kajian yang melaporkannya. Pada masa ini, tiada bukti bahwa akupunktur adalah berguna dalam rawatan jangka panjang hipertensi. Kajian-kajian di masa hadapan perlu direkabentuk untuk mengukur kesan penurunan tekanan darah yang berkekalan dengan akupunktur.
Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my