Kesan berjalan pada kawalan tekanan darah

Soalan ulasan

Bolehkah berjalan menurunkan tekanan darah?

Latar belakang

Hipertensi atau tekanan darah tinggi adalah faktor risiko utama penyakit kardiovaskular, seperti penyakit jantung koronari, strok, dan kegagalan jantung. Menurunkan tekanan darah ke tahap normal adalah berkesan dalam mengurangkan risiko penyakit-penyakit ini. Banyak faktor risiko yang berkaitan dengan hipertensi, seperti tidak aktif fizikal, diet tinggi kandungan garam dan lemak, atau merokok, berkaitan dengan gaya hidup. Aktiviti fizikal diakui sebagai komponen penting dalam gaya hidup sihat. Namun ramai orang merasa sukar untuk melakukan senaman yang sesuai dengan kehidupan seharian mereka. Berjalan kaki adalah aktiviti kos rendah dan aktiviti yang boleh dilakukan oleh ramai orang. Kajian terdahulu menunjukkan hasil yang tidak konsisten mengenai kesan berjalan pada kawalan tekanan darah.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 73 kajian yang melibatkan 5763 peserta dari 22 negara, yang diterbitkan hingga Mac 2020. Kajian ini menyertakan lelaki dan wanita; dengan usia antara 16 hingga 84 tahun dengan kira-kira separuh berumur lebih dari 60 (51%) dan 39% berumur 41 hingga 60 tahun dengan pelbagai keadaan kesihatan. Jenis aktiviti berjalan adalah pelbagai, termasuk berjalan kaki di rumah, komuniti, sekolah, atau gimnasium beberapa kali seminggu dengan tahap intensiti yang berbeza.

Keputusan utama

Kami menemui bukti berkepastian sederhana yang menunjukkan bahawa berjalan dapat mengurangkan tekanan darah sistolik (SBP). Kami menemui bukti berkepastian sederhana yang menunjukkan bahawa berjalan mengurangkan SBP pada peserta berusia 40 tahun ke bawah dan bukti berkepastian rendah bahawa berjalan mengurangkan SBP pada peserta berusia 41 tahun ke atas. Kami juga menemui bukti berkepastian rendah yang menunjukkan bahawa berjalan dapat mengurangkan SBP pada wanita dan lelaki. Kami menemui bukti berkepastian rendah yang menunjukkan bahawa berjalan dapat mengurangkan tekanan darah diastolik (DBP) dan degupan jantung. Hanya 21 kajian melaporkan sejumlah lapan kejadian buruk, dengan kecederaan lutut dilaporkan lima kali sebagai kejadian buruk. Banyak kajian tidak melaporkan bagaimana peserta diperuntukkan untuk kumpulan berjalan dan kawalan dan sama ada mereka yang menilai hasilnya tahu peserta berada di kumpulan mana. Namun, hasil kami tentang tekanan darah dan kadar degupan jantung adalah ukuran objektif dan oleh itu kurang cenderung untuk dipengaruhi oleh pengetahuan sama ada peserta berada dalam kumpulan berjalan kaki atau kawalan. Hasil kajian kami menunjukkan bahawa berjalan dengan intensiti sederhana, tiga hingga lima kali seminggu, selama 20 hingga 40 minit, dan 150 minit seminggu selama kira-kira tiga bulan boleh memberi kesan terhadap penurunan tekanan darah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information