Penambahan Vitamin D untuk mencegah jangkitan dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun

Latar belakang

Vitamin D adalah mikronutrien yang penting untuk pertumbuhan tulang dan fungsi imun. Kekurangannya boleh menyebabkan riket dan telah dikaitkan dengan pelbagai jangkitan, termasuklah jangkitan respiratori. Beberapa kajian telah melaporkan kaitan antara kekurangan vitamin D dan jangkitan dalam kalangan kanak-kanak, dan dipercayai ada kaitan dengan peranan vitamin D dalam sistem imun. Di dalam ulasan sistematik ini, para penyelidik Cochrane mengkaji peranan penambahan vitamin D bagi pencegahan jangkitan dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun. Para penyelidik mengkaji jangkitan pneumonia, tuberkulosis (TB), cirit-birit, dan malaria dalam ulasan ini.

Ciri-ciri kajian

Para penulis ulasan memeriksa bukti sedia ada sehingga 17 Jun 2016 dan memasukkan empat kajian dengan sejumlah 3198 kanak-kanak di bawah umur lima tahun. Kajian-kajian yang dimasukkan telah dijalankan di Afghanistan, Sepanyol dan AS.

Penemuan utama

Ulasan ini tidak mengesan kesan penambahan vitamin D ke atas kematian ( bukti berkualiti rendah ); kejadian pertama atau satu-satunya episod pneumonia; atau dalam kalangan kanak-kanak dengan pneumonia tidak kira sama ada ia telah disahkan melalui ujian-ujian hospital (bukti berkualiti sederhana ). Bukti terhad menunjukkan tiada perbezaan jelas dalam episod pertama atau berulang cirit-birit di antara kanak-kanak yang diberi penambahan dengan yang tidak diberi penambahan. Kami tidak tahu sama ada Vitamin D mempengaruhi kemasukan ke hospital kerana terdapat hanya satu kajian kecil yang mengukur aspek ini ( bukti berkualiti sangat rendah ). Kepekatan purata serum vitamin D adalah lebih tinggi dalam kanak-kanak diberi penambahan berbanding kanak-kanak yang tidak diberi penambahan pada akhir tempoh penambahan ( bukti berkualiti rendah ). Satu kajian yang besar dari Afghanistan menunjukkan peningkatan dalam episod pneumonia berulang yang disahkan tetapi tidak bagi pneumonia yang belum disahkan. Tiada kajian yang disertakan melaporkan TB atau malaria sebagai hasil.

Kesimpulan

Satu kajian yang besar tidak menunjukkan kesan vitamin D ke atas kematian atau jangkitan respiratori dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun. Kami tidak mendapati kajian yang menilai penambahan Vitamin D untuk mencegah jangkitan lain seperti TB dan malaria.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Penang Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi nila@pmc.edu.my

Tools
Information