Sclerotherapy (teknik suntikan) untuk urat labah-labah pada kaki

Urat labah-labah atau benang (telangiectasias) ialah urat cetek kecil yang melebar dan kelihatan, selalunya pada kaki. Ia kadang-kadang, tetapi tidak selalu, dikaitkan dengan penyakit vena kronik yang menjejaskan urat yang lebih dalam. Faktor risiko untuk mendapat urat labah-labah termasuk sejarah keluarga, kehamilan, mengambil hormon wanita, penggunaan steroid topikal, trauma setempat, dan duduk atau berdiri berpanjangan. Sesetengah orang mengalami kesakitan, kekejangan, terbakar, berdenyut, gatal-gatal atau keletihan kaki, dan wanita khususnya mungkin bimbang tentang penampilan kosmetik. Orang ramai semakin cenderung untuk mendapatkan rawatan.

Skleroerapi telah digunakan selama berabad-abad untuk merawat urat labah-labah. Teknik ini melibatkan suntikan bahan kimia ke dalam urat. Ini kadangkala diikuti dengan pemampatan dengan pembalut atau stoking.

Ejen sclerosing cecair atau busa disuntik ke dalam vena untuk menyebabkan kerosakan setempat pada lapisan dalam (endothelium) vena. Ini membawa kepada keradangan, bekuan darah, keruntuhan dan penebalan atau parut pada saluran. Darah berhenti mengalir dan urat kehilangan rupa merah atau ungu. Pada masa ini tidak ada persetujuan mengenai agen sclerosing mana yang paling berkesan dengan kesan sampingan yang paling sedikit dan paling sedikit ketidakselesaan kepada pesakit.

Kami memasukkan 10 kajian rawak terkawal (melilbatkan 484 orang peserta) dalam ulasan kami. Sodium tetradecyl sulfate (STS), polidocanol (POL), dan heparsal (20% saline dicampur dengan heparin 100 unit/mL) mengosongkan urat dengan lebih berkesan apabila dibandingkan dengan suntikan air garam biasa. Tiada bukti bahawa satu ejen adalah lebih baik daripada mana-mana sclerosant lain, bahawa pesakit lebih berpuas hati dengan satu ejen daripada yang lain, dan dos ejen mana yang terbaik. Terdapat beberapa bukti bahawa POL adalah kurang menyakitkan daripada heparsal dan STS, dan bahawa STS lebih menyakitkan daripada heparsal. Pada dos yang lebih tinggi, beberapa ejen kelihatan menyebabkan lebih banyak kesakitan dan kesan sampingan seperti perubahan warna coklat sederhana, panas atau kemerahan di sebelah vena yang disuntik, atau gatal-gatal; walau bagaimanapun, kami tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk menentukan kepekatan optimum untuk digunakan. Kajian-kajian tersebut telah direka dengan cara yang sangat berbeza dan menggunakan pelbagai ejen, yang bermakna kami tidak dapat menggabungkan kajian untuk membantu membina kesimpulan yang kukuh. Jumlah bukti yang sedia ada adalah terhad dan kualiti metodologi keseluruhan penyelidikan adalah lemah, begitu juga dengan kualiti pelaporan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information