Terapi penggantian hormon (HRT) untuk wanita yang telah dirawat untuk kanser endometrium

Isunya
Kanser endometrium berkembang dari lapisan rahim (uterus). Ia adalah kanser keenam paling lazim di seluruh dunia dan mempengaruhi wanita pada waktu atau selepas menopaus (masa haid terakhir). Pada peringkat awal, di mana kanser belum merebak ke luar rahim, kadar survival adalah sangat baik dengan survival lima tahun sehingga 97%. Rawatan kanser endometrium biasanya melibatkan pembedahan membuang rahim, tiub falopio (yang menghubung rahim ke ovari) dan ovari (yang menghasilkan telur) (histerektomi dan salfingo-ooforektomi bilateral). Ini boleh menimbulnya gejala menopaus dalam kalangan wanita yang didiagnos sebelum menopaus, atau wanita mungkin sudah mengalami gejala menopaus semasa mereka didiagnos.

Terapi penggantian hormon (HRT) diguna untuk merawat gejala menopaus seperti hangat memerah, berpeluh malam dan kekeringan faraj. Dalam kalangan wanita menopaus yang lebih muda, HRT juga dapat membantu mengekalkan kekuatan tulang dan mencegah osteoporosis (tulang lemah). Walau bagaimanapun, keselamatan HRT selepas kanser endometrium tidak diketahui. Sesetengah jenis sel kanser endometrium mungkin dirangsang oleh estrogen untuk tumbuh, yang merupakan hormon utama dalam beberapa jenis HRT. Oleh itu, HRT berpotensi untuk meningkatkan pertumbuhan sel kanser endometrium yang tertinggal selepas rawatan (kerana penyebaran mikroskopik yang tidak dapat dikesan di luar rahim, tiub fallopion dan ovari), oleh itu mempromosi perulangan tumor (pertumbuhan semula). Sesetengah doktor mungkin tidak mempreskrib HRT selepas diagnosis kanser endometrium kerana risiko teori ini. Walau bagaimanapun, kebanyakan wanita yang dirawat untuk kanser endometrium peringkat awal tidak akan mempunyai sel kanser residual selepas pembedahan. Gejala menopaus boleh menjejaskan kualiti hidup dan menopaus awal boleh menjejaskan kesihatan jangka panjang. HRT berpotensi memperbaik kualiti hidup dan kesihatan jangka panjang, dan wanita yang dirawat untuk kanser endometrium perlu mengimbangi risiko dan manfaat HRT untuk membuat keputusan rawatan.

Matlamat ulasan
Matlamat ulasan sistematik ini adalah untuk menentukan keberkesanan (adakah ia memperbaiki gejala) dan keselamatan HRT dalam kalangan wanita yang telah dirawat untuk kanser endometrium. Keselamatan HRT dalam keadaan ini termasuk kesan survival dan risiko spesifik pertumbuhan semula kanser endometrium.

Apakah penemuan-penemuan utama?
Kami mencari pangkalan data kajian klinikal untuk sebarang bukti keberkesanan dan keselamatan penggunaan HRT dalam kalangan wanita dengan kanser endometrium hingga Mei 2017. Kami hanya temui satu kajian yang memperuntukkan wanita secara rawak untuk menerima HRT atau plasebo (rawatan palsu). Ia tidak menunjukkan perbezaan dalam kecenderungan pertumbuhan semula kanser di antara kedua-dua kumpulan. Mereka menunjukkan HRT mungkin atau tidak dapat meningkatkan risiko perulangan kannser baru. Mereka tidak menyediakan sebarang maklumat tentang survival atau melegakan gejala. Walau bagaimanapun, kajian ini tidak lengkap kerana perekrutan yang teruk ke dalam kajian klinikal, oleh itu tidak cukup besar untuk menyatakan secara pasti sama ada penggunaan HRT boleh disyorkan selepas rawatan kanser endometrium awal.

Kualiti bukti
Kami tidak pasti sama ada HRT meningkatkan risiko perulangan selepas diagnosis kanser endometrium, kerana kepastian bukti semasa sangat rendah. Kami mengenal pasti hanya satu kajian rawak dan kajian ini tidak menyertakan wanita yang cukup untuk menjawab soalan itu. Kajian ini juga mempunyai potensi bias yang mengurangkan kepastian kami dalam keputusannya.

Apakah kesimpulannya?
Kepastian bukti yang terhad dan sangat rendah mencadangkan HRT mungkin ada sedikit atau tiada kesan terhadap risiko kanser endometrium berulang bagi wanita yang telah dirawat secara pembedahan untuk kanser endometrium peringkat awal. Tiada data untuk menyatakan sama ada HRT ada kesan terhadap survival keseluruhan selepas histerektomi untuk kanser endometrium.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information