Adakah ubat anti-pembekuan darah bermanfaat dalam kalangan orang dengan penyakit buah pinggang kronik?

Apakah isunya?
Orang dengan penyakit buah pinggang kronik (CKD) lebih berisiko penyakit jantung yang boleh menghalang bekalan darah ke jantung atau otak menyebabkan serangan jantung atau strok. Ubat-ubatan yang mencegah pembekuan darah (agen antiplatelet) dapat mencegah kematian akibat pembekuan darah di arteri dalam kalangan populasi dewasa umum. Walau bagaimanapun, mungkin terdapat sedikit manfaat dalam kalangan orang dengan CKD, kerana darah beku dalam arteri adalah punca kematian yang kurang lazim atau sebab untuk dimasukkan ke hospital dengan kegagalan jantung atau kematian mengejut dalam kalangan mereka. Orang dengan CKD juga lebih cenderung untuk perdarahan akibat perubahan dalam cara pembekuan darah. Agen antiplatelet mungkin lebih berbahaya apabila ada CKD.

Apa yang kami lakukan?

Ulasan kemaskini ini menilai manfaat dan mudarat agen antiplatelet untuk mencegah penyakit kardiovaskular dan kematian, dan impak ke atas akses vaskular dialisis (fistula atau graf) dalam kalangan orang dengan CKD. Kami mengenal pasti 90 kajian yang membandingkan agen antiplatelet dengan plasebo ataupun tiada rawatan dan 29 kajian yang membandingkan satu agen antiplatelet dengan yang lain secara langsung.

Apa yang kami temui?
Ejen antiplatelet mungkin mencegah serangan jantung, tetapi tidak mengurangkan kematian atau strok dengan jelas. Rawatan dengan agen ini boleh meningkatkan risiko pendarahan besar dan kecil. Pembekuan akses dialisis telah dicegah dengan agen antiplatelet.

Kesimpulan
Manfaat agen antiplatelet untuk orang dengan CKD mungkin terhad kepada pencegahan serangan jantung. Rawatan itu tidak mencegah strok atau kematian dan mungkin menyebabkan perdarahan serius yang berlebihan yang mungkin perlukan kemasukan ke hospital atau transfusi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information