Vaksin untuk mencegah kayap dalam kalangan orang tua

Mesej utama
Vaksin boleh mencegah kayap pada orang tua yg sihat.

Apakah herpes zoster?
Herpes zoster ialah pengaktifan semula virus varicella zoster. Virus varicella zoster menyebabkan cacar air dan boleh kekal tidak aktif di dalam sel-sel saraf selama bertahun-tahun. Virus ini boleh menjadi aktif semula, bergerak melalui saraf ke kulit dan menghasilkan lepuh di sepanjang perjalanan saraf. Keadaan ini dipanggil kayap (herpes zoster), dan kerap terjadi pada orang yang mempunyai imuniti yang rendah, seperti orang tua. Sebelum lepuh muncul, gejala yang mungkin termasuklah kegatalan, kebas, atau sakit setempat. Kayap menyebabkan keradangan saraf dan kesakitan yang teruk yang boleh menjejaskan kualiti hidup. Kadar kejadian kayap berkisar dari 2.08 kes kepada 6.20 kes bagi setiap 1000 orang-tahun (iaitu bilangan kes baru bagi setiap penduduk berisiko, dalam tempoh masa tertentu). Bilangan ini semakin meningkat, sebahagiannya disebabkan orang hidup lebih lama.

Apa yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui sama ada orang tua yang sihat yang menerima vaksin virus herpes zoster kurang berkemungkinan menghidap penyakit ini berbanding orang tua yang sihat yang menerima 'vaksin palsu' (iaitu plasebo, suntikan yang tidak menyebabkan sebarang kesan berkaitan herpes zoster). Kami juga ingin mengetahui sama ada vaksin, berbanding dengan vaksin palsu, menyebabkan sebarang kesan yang tidak diingini.

Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang menyiasat dan membandingkan orang tua yang sihat (purata umur peserta 60 tahun dan ke atas) yang menerima vaksin melindungi daripada herpes zoster, dengan orang tua sihat yang menerima vaksin palsu.

Kami membandingkan dan merumuskan penemuan, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan saiz kajian, tentang cara data dibentangkan, dan mengenai risiko bias (kemungkinan ciri reka bentuk kajian atau pengendalian kajian akan membawa kepada keputusan yang salah).

Apakah yang telah kami temui?
Ini adalah kemas kini ulasan sistematik, dan kami menemui dua kajian baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 26 kajian yang dimasukkan (90,259 peserta). Kajian ini menguji dua jenis vaksin yang telah diluluskan kegunaannya. Enam belas kajian menguji vaksin virus hidup yang dilemahkan (LZV) dan memasukkan 55,975 peserta (dos tunggal); 10 kajian menguji vaksin zoster rekombinan (RZV), dan memasukkan 34,284 peserta (dua dos dengan selang dua bulan antara mereka).

Semua kajian melibatkan pesakit luar. Kebanyakan peserta kajian adalah Caucasian (bangsa kulit putih).

Keputusan utama

Keberkesanan vaksin

LZV (dos tunggal)
Peserta yang menerima LZV mempunyai kadar kayap yang lebih rendah berbanding mereka yang menerima vaksin palsu. Oleh itu, LZV mungkin berkesan kerana kepastian bukti adalah sederhana. Adalah perlu untuk memvaksin 50 orang tua yang sihat dengan LVZ untuk mengelakkan satu episod kayap.

RZV (dua dos)
Vaksinasi dengan RZV juga mungkin berkesan (bukti berkepastian sederhana), dan mungkin lebih berkesan daripada vaksinasi dengan LZV, kerana keputusan menunjukkan bahawa adalah perlu untuk memberi vaksin kepada 33 orang tua yang sihat untuk mengelakkan satu episod kayap.

Keselamatan
Kedua-dua vaksin mungkin selamat (bukti berkepastian sederhana) untuk kesan yang tidak diingini.

Dalam kajian yang menguji RZV, yang memerlukan dos kedua dua bulan kemudiannya, kadar keciciran (bilangan orang yang tidak menerima dos kedua) adalah lebih tinggi dalam kumpulan yang menerima vaksin sebenar berbanding kumpulan yang menerima vaksin palsu. Ini boleh dikira sedemikian rupa sehingga bagi setiap 100 orang tua yang sihat yang divaksinasi dengan dua dos vaksin sebenar, seorang tua yang menerima dos pertama vaksin ini tidak menerima dos kedua. Kereaktifan (kesan sampingan) dos pertama vaksin mungkin telah menyumbang kepada kelakuan ini.

Kesimpulan
LZV (dos tunggal) dan RZV (dua dos) mungkin berkesan dalam mencegah penyakit kayap selama sekurang-kurangnya tiga tahun. Bagi kedua-dua vaksin, kepastian bukti adalah sederhana dari segi keberkesanan dan keselamatan sekurang-kurangnya tiga tahun.

Apakah batasan bukti?
Kami mempunyai bukti kepastian sederhana untuk semua titik akhir keberkesanan dan keselamatan, berdasarkan kajian yang memasukkan sebilangan besar orang tua yang sihat berumur 60 tahun atau lebih.

Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 21 Oktober 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information