Aminosalicylates untuk rawatan penyakit Crohn aktif

Apakah penyakit Crohn?

Penyakit Crohn ialah penyakit radang kronik usus. Walaupun penyakit Crohn sering dijumpai di ileum (bahagian bawah usus kecil), ia boleh dijumpai di mana-mana bahagian saluran pencernaan, dari mulut ke dubur. Simptom yang paling umum dalam penyakit Crohn ialah cirit-birit dan sakit perut yang sering berlaku di bahagian bawah abdomen.

Apakah aminosalicylates?

Aminosalicylates adalah keluarga ubat dengan pelbagai formulasi yang menyampaikan bahan aktif, mesalamine, ke tapak sasaran. Aminosalicylates dianggap merawat penyakit Crohn dengan mengurangkan keradangan usus yang disebabkan oleh penyakit ini.

Apakah yang disiasat oleh penyelidik?

Para penyelidik menyiasat sama ada aminosalicylates menghasilkan remisi atau mengurangkan keparahan penyakit dalam kalangan individu yang mempunyai penyakit Crohn aktif yang ringan dan sederhana, dan sama ada ia menyebabkan sebarang kemudaratan (kesan sampingan). Para penyelidik telah mencari kesusasteraan perubatan secara meluas sehingga June 10, 2015.

Apakah yang dijumpai oleh para penyelidik?

Para penyelidik mendapati dua puluh kajian yang melibatkan sejumlah 2367 peserta. Sepuluh kajian telah dinilai sebagai berkualiti sederhana hingga tinggi, sementara sepuluh kajian yang lain dinilai sebagai berkualiti rendah. Kajian-kajian tersebut membandingkan aminosalicylates (sulfasalazine, mesalazine dan mesalamine) dengan plasebo (pil atau tablet tidak aktif), kortikosteroid atau budesonide (steroid yang mempunyai metabolisme yang laju oleh badan dan mempunyai kesan sampingan yang kurang berbanding dengan kortikosteroid tradisional).

Para penyelidik mendapati bahawa, berbanding dengan plasebo, sulfasalazine hanya memberikan manfaat yang sederhana untuk rawatan penyakit Crohn yang ringan dan sederhana. Kesan sulfasalazine adalah lebih rendah berbanding dengan kortikosteroid dalam rawatan penyakit Crohn yang aktif. Sulphasalazine berbeza daripada aminosalicylates yang lain kerana ia mengandungi bahagian sulpha yang telah dikeluarkan dalam persiapan lain.

Formula mesalazine dan mesalamine tidak berkesan untuk induksi remisi dalam penyakit Crohn yang aktif. Budesonide telah dibandingkan dengan mesalamine dos tinggi (4 hingga 4.5 g/hari) tetapi hasilnya bercanggah. Satu kajian mendapati bahawa mesalamine adalah kurang berkesan berbanding dengan budesonide. Kajian yang lain mendapati tiada perbezaan dalam keberkesanan antara mesalamine dan budesonide.

Kesan sampingan secara umumnya adalah bersifat ringan dan biasanya termasuklah sakit kepala, mual, muntah, sakit perut dan cirit-birit.

Sebagai kesimpulan, keberkesanan sulfasalazine adalah hanya sederhana untuk rawatan penyakit Crohn yang aktif. Walau bagaimanapun, data yang ada menunjukkan mesalamine mempunyai sedikit faedah. 

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Lin (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi pllee@ms.pmc.edu.my.

Tools
Information