Mesej utama
– Kami tidak tahu sama ada suplemen pemakanan sebagai tambahan kepada pemakanan biasa adalah lebih baik untuk orang yang menjalani pembedahan pada sistem penghadaman disebabkan oleh ketidakpastian bukti.
– Terdapat beberapa bukti bahawa suplemen oral mengurangkan jangkitan pada orang yang mengalami penurunan berat badan atau kekurangan zat makanan.
– Lebih banyak penyelidikan diperlukan dalam bidang ini.
Latar belakang
Orang yang akan menjalani pembedahan pada saluran penghadaman selalunya mengalami kekurangan zat makanan sebelum pembedahan (iaitu, mereka mempunyai tahap zat makanan yang lemah, mungkin kerana pemakanan mereka tidak mengandungi jumlah nutrien yang betul atau badan mereka tidak menyerap nutrien dengan baik). Ini boleh meningkatkan kemungkinan kematian, penyakit atau masalah yang lain, dan penginapan hospital lebih lama. Penyelidikan menunjukkan bahawa kekurangan zat makanan dan penurunan berat badan dikaitkan dengan jangkitan dan komplikasi yang lain selepas pembedahan pada sistem penghadaman, seperti penyembuhan yang lemah di tapak pembedahan, jantung tidak mengepam darah ke seluruh badan dengan betul, darah beku atau berdarah. Kami melihat kepada kesan pemberian makanan tambahan sebelum pembedahan.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu sama ada memberi suplemen pemakanan, melalui tiub ke dalam perut (enteral) atau melalui tiub ke dalam saluran darah (parenterally) sebagai tambahan kepada makanan biasa sebelum pembedahan pada saluran penghadaman akan membawa kepada kurang komplikasi tidak berjangkit (iaitu, komplikasi yang lain daripada jangkitan), komplikasi berjangkit (iaitu, komplikasi yang berkaitan dengan jangkitan di tapak pembedahan atau di tempat lain di dalam badan) dan penginapan yang lebih singkat di hospital. Untuk suplemen oral , kami melihat kepada suplemen biasa dan suplemen meningkatkan imun (yang diperkaya dengan bahan untuk meningkatkan sistem imun badan untuk membantu melawan jangkitan).
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami telah mencari pangkalan data saintifik untuk kajian berkaitan terapi pemakanan tambahan berbanding penjagaan biasa pada orang yang menjalani pembedahan pada saluran penghadaman.
Penemuan utama
Kami mengenal pasti sebanyak 16 kajian yang melibatkan 2164 orang peserta. Untuk pemakanan parenteral dan enteral, kami tidak pasti sama ada terdapat sebarang kesan ke atas bilangan orang dengan komplikasi tidak berjangkit, komplikasi berjangkit atau tempoh tinggal hospital . Untuk suplemen oral dengan bahan meningkatkan imun, kami tidak pasti sama ada terdapat sebarang kesan ke atas bilangan komplikasi tidak berjangkit, komplikasi berjangkit atau tempoh tinggal hospital . Untuk suplemen oral biasa, kami menemui sedikit atau tiada kesan ke atas bilangan orang dengan komplikasi tidak berjangkit atau berjangkit. Walaupun dalam dua kajian yang melihat orang yang menurunkan berat badan atau mereka yang kekurangan zat makanan, suplemen oral standard mungkin mengurangkan jangkitan. Suplemen oral standard boleh kurang tempoh penginapan hospital dibandingkan jaga biasa.
Apakah batasan bukti?
Kami mempunyai keyakinan terhad dalam keputusan kerana, sebagai contoh, beberapa kajian sudah lama, kaedah dan keputusan berbeza-beza antara kajian, dan dalam beberapa kajian, peserta dan para penyelidik mengetahui rawatan yang mereka menerima jadi boleh lebih mengutamakan satu rawatan berbanding yang lain.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ini adalah kemaskini ulasan pertama yang diterbitkan pada 2012. Carian terkini ialah 28 Mac 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Tunku Azizah). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).