Adakah pemasangan mesh profilaksis di sekitar stoma dapat mencegah perkembangan hernia pada masa depan dan ketidakselesaan pesakit umum?

Soalan ulasan

Kajian ini melihat sama ada pemasangan jaring (bahan asing) di sekitar stoma (bukaan yang dibuat secara pembedahan di dinding usus dan perut untuk membolehkan pengalihan najis) pada masa pembentukan stoma terjejas sama ada peserta kajian mengembangkan hernia (penonjolan kandungan perut melalui kelemahan dinding perut) di sekitar stoma. Tujuan kami juga untuk menilai apakah risiko atau komplikasi yang berkaitan dengan pemasangan mesh dibandingkan dengan tidak ada mesh.

Latar belakang

Pembentukan hernia di sekitar stoma mempengaruhi sehingga 50% orang yang mengalami pembentukan stoma. Hernia mungkin membesar dari masa ke masa, yang boleh menyebabkan ketidakselesaan pesakit yang menyebabkan pesakit menyekat pekerjaan dan aktiviti fizikal yang lain. Masalah pembedahan semula dan kosmetik juga mungkin timbul.

Ciri-ciri kajian

Setelah carian data kami pada Januari 2018, kami menyertakan 10 kajian dengan sejumlah 844 peserta, yang kami menilai menggunakan protokol Ulasan Cochrane standard. Kajian membandingkan kejadian perkembangan hernia di sekitar stoma antara kumpulan yang mempunyai pemasangan mesh pada masa pembentukan stoma dan kumpulan kawalan yang mempunyai pembentukan stoma konvensional tanpa pemasangan mesh.

Hasil utama

Kami mendapati bahawa pemasangan mesh di sekitar stoma pada masa pembentukan stoma mengurangkan kejadian pembentukan hernia pada masa akan datang. Peserta yang dipasang mesh juga mempunyai tahap komplikasi yang serupa dengan mereka yang tidak mempunyai mesh.

Kualiti bukti

Kami menemui bukti berkualiti rendah yang menyokong pemasangan mesh pada orang yang mempunyai stoma.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Engracia Shihuan Yap. Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information