Perubahan persekitaran air yang kekal dan sementara yang manakah berfungsi lebih baik untuk mengurangkan malaria pada manusia pada nyamuk yang belum matang?

Mengapa penting untuk mengurangkan malaria pada orang?

Malaria mempunyai kesan yang sangat tinggi terhadap kesihatan orang ramai, kebanyakannya di Afrika dan Asia. Strategi untuk mengurangkan malaria telah dikaji selama bertahun-tahun. Kebanyakan strategi tertumpu kepada mengurangkan bilangan nyamuk tidak matang (larva dan pupa) untuk mengelakkannya daripada menjadi nyamuk dewasa, kerana nyamuk betina dewasa yang boleh menyebarkan malaria melalui orang yang digigit.

Apakah perubahan kekal dan sementara kepada persekitaran nyamuk yang tidak matang?

Persekitaran air di mana nyamuk tidak matang hidup boleh diganggu menggunakan perubahan kekal (pengubahsuaian) dan sementara (manipulasi). Contoh perubahan kekal termasuk pembinaan saluran pengaliran, meratakan tanah, dan mengisi parit. Contoh perubahan sementara termasuk mengubah aliran air dalam sungai, mengalirkan terusan, memotong rumput, meneduhkan air menggunakan tumbuhan. Intervensi ini boleh digunakan sendiri atau bersama-sama dengan rawatan standard lain, seperti penggunaan racun serangga secara berkala pada badan air (penyingkiran larva).

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui perubahan kekal dan sementara kepada persekitaran nyamuk tidak matang yang mana dapat mengurangkan malaria pada manusia (hasil klinikal), dan kuantiti nyamuk tidak matang dan dewasa (hasil entomologi).

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang melihat kepada perubahan kekal dan sementara kepada persekitaran nyamuk yang tidak matang berbanding tanpa intervensi atau perubahan kekal atau sementara yang berbeza. Kami membanding dan merumus keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian.

Apa yang kami dapati?

Ulasan termasuk 16 kajian yang menggunakan pelbagai reka bentuk kajian rawak dan bukan rawak yang berbeza. Sebelas kajian telah dijalankan di Afrika dan lima di Asia. Hanya beberapa kajian melaporkan hasil klinikal, dengan kebanyakannya memfokuskan pada bilangan nyamuk yang tidak matang, atau nyamuk dewasa, atau kedua-duanya (hasil entomologi). Kami mendapati terdapat beberapa bukti untuk menyokong penggunaan perubahan kekal (pengubahsuaian) dan sementara (manipulasi) kepada persekitaran air untuk mengurangkan bilangan nyamuk tidak matang dalam tetapan tertentu. Walau bagaimanapun, apabila melihat kepada hasil klinikal, 1. kesan manipulasi habitat terhadap kelaziman parasit malaria dan kejadian malaria klinikal adalah tidak jelas; 2. kelaziman parasit malaria boleh dikurangkan apabila menggunakan manipulasi habitat dengan larvasid; 3. menggabungkan manipulasi dan pengubahsuaian dengan larvasid mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada kelaziman parasit malaria dan tahap hemoglobin.

Apakah batasan bukti tersebut?

Ulasan ini menyertakan pelbagai perubahan berbeza kepada persekitaran air nyamuk yang tidak matang, dengan beberapa menggabungkannya dengan rawatan air (penyingkiran larva), yang bermaksud bahawa sangat sedikit kajian melihat intervensi yang sama. Banyak kajian yang disertakan mempunyai isu mengenai sejauh mana ia dijalankan dengan baik.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemas kini satu Ulasan Cochrane 2013. Bukti adalah terkini sehingga 30 November 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information