Jangkitan hepatitis B kronik (HBV) menyebabkan mortaliti, morbiditi dan beban ekonomi yang ketara di seluruh dunia. Walaupun terapi terkini yang diluluskan berkesan, respon terhadap rawatan adalah tidak memuaskan. Pesakit berisiko tinggi untuk mengalami rintangan virus, dan kejadian buruk yang serius berlaku. Objektif ulasan ini adalah untuk menilai manfaat dan mudarat spesies phyllanthus untuk pesakit dengan jangkitan HBV kronik. Spesies phyllantus dilihat selamat dan berpotensi berkesan ke atas pembersihan penanda virus dalam kalangan pesakit dengan jangkitan HBV. Walau bagaimanapun, semua kajian yang dinilai dalam ulasan ini mempunyai metodologi yang berkualiti rendah, iaitu, berisiko bias tinggi, dan terdapat risiko ralat rawak dalam kebanyakan perbandingan. Tambahan pula, semua analisis menunjukkan heterogeniti yang besar. Oleh itu, kajian klinikal rawak dengan risiko bias rendah dan saiz sampel yang besar perlu dijalankan untuk mengesahkan kesan spesies phyllanthus sebelum penggunaan klinikal dipertimbangkan.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.