Membandingkan dua jenis ubat penipisan darah, perencat faktor Xa dan antagonis vitamin K, untuk mengelakkan klot darah dalam kalangan orang dengan pemfibrilan atrium

Soalan ulasan

Kami membandingkan manfaat dan mudarat dua jenis ubat-ubatan yang dipanggil ubat "penipisan darah" (perencat faktor Xa dan antagonis vitamin K) dalam kalangan orang dengan pemfibrilan atrium.

Latar belakang

Orang dengan pemfibrilan atrium, keadaan yang menyebabkan jantung berdenyut tidak regular, berisiko lebih tinggi untuk mendapat klot darah. Klot sedemikian boleh menyumbat saluran darah dan menyebabkan kerosakan organ yang teruk di otak (strok) atau organ lain. Pelbagai garis panduan mencadangkan orang dengan pemfibrilan atrium perlu dirawat dengan ubat-ubatan "penipisan darah" seperti perencat faktor Xa atau antagonis vitamin K (contohnya warfarin) kerana ubat-ubatan ini boleh menghalang pembentukan klot darah. Kesan sampingan serius ubat-ubatan ini adalah perdarahan (misalnya ke dalam otak) yang boleh menyebabkan kecacatan serius atau kematian.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pelbagai sumber sehingga 29 Ogos 2017 dan memasukkan 13 kajian melibatkan 67,688 orang dengan pemfibrilan atrium yang menerima perencat faktor Xa atau antagonis vitamin K. Semua yang termasuk adalah orang dewasa dan purata usia adalah di antara 65 dan 74 tahun. Kira-kira satu pertiga adalah wanita.

Keputusan utama

Kami mendapati perencat faktor Xa apabila dibandingkan dengan warfarin, yang diguna sebagai pembanding dalam semua kajian, mengurangkan bilangan strok dalam kalangan orang dengan pemfibrilan atrium. Pengurangan ini, walaubagaimanapun, agak kecil. Perencat faktor Xa juga dilihat mengurangkan jumlah perdarahan serius (termasuk perdarahan ke dalam otak) dan bilangan orang yang mati akibat sebarang punca berbanding warfarin.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti dalam ulasan kami sebagai sederhana hingga tinggi. Kajian yang kami sertakan pada umumnya adalah besar hingga sangat besar. Kami mendapati keputusan dari kajian yang lebih besar pada umumnya sama dan ini mengukuhkan penemuan kami. Akhirnya, kami yakin bahawa kami telah memasukkan semua kajian yang relevan dalam ulasan kami dan tidak terlepas sebarang kajian penting.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information