Latar belakang
Orang dewasa dengan kanser terdedah kepada komplikasi serius daripada influenza, lebih daripada orang dewasa yang sihat. Vaksin influenza melindungi daripada influenza dan komplikasinya. Walau bagaimanapun, keberkesanannya di kalangan orang dengan kanser tidak jelas, kerana disfungsi daya tahan diri yang mengiringi kanser akibat kemoterapi mungkin mengurangkan tindak balas daya tahan diri terhadap vaksin. Oleh itu, orang dengan kanser tidak mempunyai informasi yang jelas mengenai kepentingan dan keberkesanan vaksin tersebut.
Tujuan ulasan
Ulasan ini memberi tumpuan kepada keberkesanan pemberian vaksin influenza pada orang dewasa dengan kanser yang mempunyai sistem daya tahan diri yang rendah kerana kanser atau kemoterapi. Kami mencari kajian sehingga Mei 2017.
Apakah penemuan-penemuan utama?
Kami mengenal pasti enam kajian klinikal (2275 peserta) yang menjaeab soalan ini, separuh daripadanya adalah kajian terkawal rawak, di mana pesakit telah dipilih secara rawak untuk mendapat atau tidak mendapat vaksin. Dua kajian lain menunjukkan bahawa orang dewasa dengan kanser yang telah diberi vaksin didapati mempunyai kadar kematian yang lebih rendah, tetapi kajian ini tidak dijalankan secara rawak. Satu kajian rawak kecil menunjukkan kadar kematian yang sama di antara pesakit yang diberi vaksin dan tidak diberi vaksin. Penggabungan hasil (menggabungkan) dari kajian yang berbeza tidak mungkin kerana kaedah yang berlainan atau cara perlaporan hasil yang berbeza. Terdapat kadar yang lebih rendah untuk penyakit serupa influenza (mana-mana penyakit pernafasan febrile), radang paru-paru, influenza yang dikesah dan kemasukan ke hospital untuk apa-apa sebab, di kalangan orang yang divaksin dalam sekurang-kurangnya satu kajian. Tiada kesan sampingan oleh vaksin yang dilaporkan dalam kajian ini. Ulasan juga melibatkan kajian yang membandingkan vaksin biasa kepada vaksin yang mengandungi pembantu yang sepatutnya meningkatkan tindak balas daya tahan diri. Kajian rawak ini kecil dan tidak mendapati perbezaan dalam semua hasil klinikal yang diperiksa.
Kualiti bukti
Kekuatan bukti dibatasi oleh bilangan kajian yang rendah dan oleh kualiti metodologi yang rendah (risiko berat sebelah yang tinggi).
Apakah kesimpulannya?
Tidak mungkin ada kajian terkawal berskala besar masa depan untuk menyiasat isu ini. Bukti semasa, walaupun lemah, menunjukkan manfaat untuk vaksinasi influenza di kalangan orang dewasa dengan kanser dan vaksin tidak didapati berbahaya. Vaksin influenza yang diberikan kepada orang dewasa dengan kanser mengandungi virus yang tidak aktif yang tidak boleh menyebabkan influenza atau jangkitan virus lain.
Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Chan Mei Wai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my