Adakah jahitan servikal ini dapat menghalang kelahiran awal dalam kalangan bayi singleton?

Apakah isu-isunya?

Jahitan servikal ini merupakan prosedur pembedahan yang dilakukan semasa hamil dengan menjahit pada sekeliling leher rahim. Jahitan tersebut adalah untuk menguatkan serviks dan dengan itu dapat mengurangkan risiko kelahiran awal.

Mengapakah ini penting?

Dalam kehamilan normal, serviks akan sentiasa tertutup, sebelum mula memendek dan menjadi lembut bagi persediaan proses bersalin dan kelahiran. Bagaimanapun, kadang-kadang serviks mula memendek dan akan terbuka lebih awal, menyebabkan keguguran lewat atau kelahiran awal. Jahitan pada serviks boleh mengurangkan peluang keguguran lewat atau kelahiran awal.

Apakah bukti yang kami dapati?

Kami mencari bukti sehingga 30 Jun 2016. Ulasan ini melibatkan 15 kajian yang dijalankan ke atas 3490 wanita (3 kajian yang melibatkan 152 wanita telah ditambah semasa dikemaskini)

Wanita dengan jahitan adalah kurang berkemungkinan untuk mengalami kelahiran awal bayi. Bayi yang ibunya menjalani jahitan kurang berkemungkinan untuk meninggal dalam minggu pertama selepas dilahirkan. Namun begitu, masih tidak jelas samada jahitan servikal dapat mengurangkan kelahiran mati atau memperbaiki kesihatan bayi selepas lahir.

Apakah maksudnya?

Memasukkan jahitan dapat membantu wanita hamil yang berisiko tinggi dari mengalami kelahiran awal berbanding yang tidak dijahit. Memasukkan jahitan juga dapat meningkatkan peluang untuk bayi hidup. Kami menjumpai hanya terdapat beberapa kajian klinikal untuk memahami samada perawatan lain dapat mengurangkan kelahiran awal, iaitu progesteron (ubatan hormon untuk mengurangkan kelahiran awal). Kami juga menjumpai hanya terdapat beberapa data untuk memahami bahawa dengan melakukan jahitan awal semasa hamil lebih baik (berpandukan sejarah ibu yang lepas) atau menunggu daripada melakukan imbasan ultrabunyi kemudiannya semasa hamil untuk melihat samada serviks telah menjadi pendek.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nik Hazlina Nik Hussain (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi hazlinakck@usm.my

Tools
Information