Soalan ulasan
Adakah antibiotik sebelum atau semasa pemindahan embrio memperbaik hasil dalam teknologi pembiakan terbantu (ART)?
Mesej utama
– Penemuan ini tidak menyokong penggunaan antibiotik semasa pemindahan embrio untuk tujuan memperbaik kadar kejayaan persenyawaan in vitro (IVF) dalam sebarang hasil yang ditetapkan.
– Dalam satu kajian yang menangani kadar kolonisasi saluran genital dengan secukupnya (ukuran bilangan bakteria dalam saluran genital), penggunaan antibiotik tiada kesan ke atas kadar kehamilan klinikal.
Bagaimana antibiotik sebelum atau semasa pemindahan embrio boleh memperbaik hasil IVF?
IVF dan suntikan sperma intrasitoplasma (ICSI) adalah jenis ART yang diguna untuk membantu orang yang bermasalah kesuburan mendapat bayi. Semasa IVF/ICSI, telur dikeluarkan dari ovari wanita dan disenyawakan dengan sperma di makmal. Embrio yang terhasil dipindahkan ke dalam uterus (rahim) melalui tiub halus melalui serviks (pembuka kepada rahim). Banyak pembolehubah mempengaruhi peluang kehamilan selepas pemindahan embrio, termasuk kualiti embrio dan keadaan dalam rahim (persekitaran). Paras bakteria yang tinggi dalam saluran genital atas boleh mengurangkan kadar kehamilan. Pemberian antibiotik sebelum pemindahan embrio boleh mengurangkan pertumbuhan bakteria ini dan meningkatkan hasil ART. Di samping itu, mungkin terdapat beberapa jenis bakteria yang lebih baik untuk kehamilan daripada yang lain. Antibiotik boleh mengubah persekitaran ini dan dengan itu mempengaruhi hasil.
Apakah yang kami ingin tahu?
Ulasan ini mempertimbangkan sama ada antibiotik yang diberi sebelum atau semasa pemindahan embrio mempengaruhi kadar kehamilan atau hasil penting lain dalam ART.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan antibiotik dengan tiada antibiotik sebelum atau semasa pemindahan embrio dalam ART. Kami membanding dan merumus keputusan, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apa yang kami dapati?
Kami mendapati dua kajian melibatkan 377 wanita yang menjalani IVF/ICSI. Satu kajian melibatkan 350 wanita dan yang satu lagi melibatkan 27 wanita. Setiap kajian dijalankan di satu klinik di dua negara berbeza. Semua wanita mempunyai kitaran IVF/ICSI yang dirangsang (di mana wanita mengambil ubat untuk merangsang ovarinya untuk membesar dan mematangkan sebilangan telur) dan pemindahan embrio. Kajian-kajian memberi rejimen antibiotik yang berbeza (jenis, dos dan masa yang berbeza) dan dalam satu kajian, semua wanita menerima satu dos antibiotik intravena (ke dalam vena) semasa pemindahan embrio.
Apakah batasan bukti?
Kami tidak pasti sama ada antibiotik yang diberisebelum atau semasa pemindahan embrio membuat perbezaan kepada kejayaan ART walaupun terdapat kemungkinan perubahan bakteria dalam trek genital. Kami tidak pasti sama ada amaun bakteria dalam trek genital atas diubah kerana hanya satu kajian memberi maklumat yang boleh kami gunakan. Kajian kedua adalah kecil dan semua wanita menerima antibiotik intravena semasa pemindahan embrio yang mungkin mempengaruhi keputusan.
Sejauh manakan bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga November 2022.
Diterjemahkan oleh Nik Hazlina Nik Hussain (Universiti Sains Malaysia). Dikemskini. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my