Soalan ulasan
Adakah rawatan pesakit luar dengan antibiotik selamat dan berkesan untuk pesakit kanser yang mempunyai tahap neutrofil (sejenis sel darah putih) yang rendah dan mengalami demam (dipanggil neutropenia febril), yang biasanya disebabkan oleh kemoterapi?
Latar belakang
Neutrofil (sejenis sel darah putih) adalah kunci untuk melawan jangkitan bakteria. Orang yang dirawat untuk kanser biasanya mempunyai tahap neutrophil yang rendah, satu keadaan yang dipanggil neutropenia, yang lazimnya merupakan akibat daripada rawatan kemoterapi. Keadaan ini mendedahkan mereka kepada jangkitan, dan boleh menjadi serius serta berpotensi untuk mengancam nyawa dengan cepat. Keadaan Ini dipanggil sepsis neutropenik. Untuk bertahun-tahun, pesakit kanser yang menghidapi demam semasa mereka berada di dalam keadaan neutropenia (dipanggil demam neutropenik) telah diberi antibiotik untuk mencegah mereka daripada mengalami sepsis neutropenik yang berlebihan. Bergantung kepada tempoh neutropenia, serta jenis kanser, umur dan simptom-simptom yang lain, pesakit boleh dibahagikan kepada dua kumpulan risiko: berisiko tinggi atau berisiko rendah untuk mengalami jangkitan yang serius. Baru-baru ini, rawatan dengan antibiotik oral (ubat cecair atau tablet yang diberikan melalui mulut) telah terbukti berkesan sama seperti rawatan intravena (ubat yang disuntik ke dalam urat). Walau bagaimanapun, sama ada memberikan rawatan pesakit luar adalah selamat seperti rawatan yang diberikan di hospital masih tidak jelas diketahui.
Ciri-ciri kajian
Sepuluh kajian (994 peserta) mengandungi maklumat untuk ulasan ini. Sepuluh kajian ini telah membandingkan terapi antibiotik pesakit luar (491 peserta) dengan terapi pesakit dalam (503 peserta) dalam kalangan pesakit kanser yang mengalami neutropenia febril. Enam kajian dijalankan pada orang dewasa (628 peserta) dan empat kajian adalah pada kanak-kanak (366 peserta). Sepuluh percubaan ini telah membandingkan keberkesanan dari segi kehilangan tanda-tanda jangkitan (terutamanya demam) dan sembilan kajian telah menilai kesan pada mortaliti (kematian). Lapan kajian mencatatkan bilangan hari rawatan sehingga demam reda. Lima kajian membandingkan tempoh neutropenia antara pesakit dalam dan pesakit luar. Lima kajian menganalisis tempoh penggunaan antibiotik dan enam kajian melihat pada tempoh berada dalam hospital. Dua kajian menilai kualiti hidup untuk pesakit.
Dalam lapan daripada 10 kajian ini, terapi antibiotik pesakit luar adalah sebahagian daripada program keluar hospital awal, iaitu antibiotik diberikan untuk beberapa hari di dalam hospital dan kemudiannya peserta dibenarkan pulang ke rumah. Dalam dua kajian yang lain, pengambilan antibiotik bermula di rumah.
Keputusan utama
Terapi antibiotik pesakit luar mungkin sama berkesan seperti terapi pesakit dalam untuk melegakan tanda-tanda jangkitan, termasuk menurunkan demam, dalam kalangan pesakit kanser (kedua-dua orang dewasa dan kanak-kanak) yang mengalami neutropenia febril. Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dari segi mortaliti antara terapi pesakit luar dengan terapi pesakit dalam, serta dari segi tempoh rawatan dengan antibiotik, atau kekerapan kejadian mudarat yang berkaitan dengan penggunaan antibiotik. Rawatan sebagai pesakit luar mungkin boleh mengurangkan bilangan hari pesakit perlu dirawat di hospital.
Kepastian bukti
Secara umumnya, kajian-kajian ini mempunyai kepastian yang sederhana.
Diterjemahkan oleh Tan Shing Cheng (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi sctan@ukm.edu.my.