Vaksinasi HPV untuk mencegah kanser dan perubahan pra kanser serviks

Latar belakang
Virus papilloma manusia (HPV) adalah jangkitan kelamin dan biasanya dalam golongan orang muda. Biasanya jangkitan ini dibuangkan oleh sistem imun. Walau bagaimanapun, apabila jenis berisiko tinggi (rt) berterusan, ia boleh menyebabkan perkembangan sel-sel servik yang tidak normal, yang dirujuk sebagai prakanser serviks jika sekurang-kurangnya dua pertiga daripada lapisan permukaan serviks terjejas. Prakanser boleh berkembang menjadi kanser serviks selepas beberapa tahun. Tidak semua orang yang mempunyai prakanser serviks akan mendapat kanser serviks, tetapi adalah sukar untuk meramalkan siapakah yang akan terjejas. Terdapat beberapa jenis rtHPV yang berbeza yang boleh menyebabkan prakanser serviks dan kanser. HPV16 dan 18 adalah jenis berisiko tinggi yang paling penting, kerana kedua-duanya menyebabkan kira-kira 70% daripada kanser serviks di seluruh dunia. Vaksinasi pencegahan, melalui suntikan partikel seakan virus HPV ke dalam otot, mencetuskan penghasilan antibodi yang melindungi daripada jangkitan HPV pada masa hadapan.

Soalan ulasan
Adakah vaksin HPV mencegah perkembangan prakanser serviks atau kanser dan apakah kemudaratannya?

Keputusan utama
Kami memasukkan 26 kajian yang melibatkan 73,428 gadis-gadis remaja dan wanita. Kesemua kajian menilai keselamatan vaksin sepanjang tempoh 0.5 hingga 7 tahun dan sepuluh kajian, dengan tindakan susulan 3.5 hingga 8 tahun, ditangani perlindungan terhadap prakanser. Tiada hasil ke atas kanser serviks didapati. Kebanyakan peserta yang mendaftar adalah lebih muda daripada umur 26 tahun. Tiga kajian mengambil wanita di antara 25 hingga 45 tahun. Kajian-kajian ini berbandingkan vaksin HPV dengan vaksin palsu.

Kami menilai perlindungan ke atas prakanser pada orang yang bebas dari rtHPV, bebas dari HPV16/18 atau orang-orang yang ada atau tanpa jangkitan HPV pada masa diberi vaksin. Kami menilai secara berasingan prakanser yang berkaitan dengan HPV16/18 dan mana-mana prakanser .

Perlindungan ke atas prakanser serviks

1) Wanita yang bebas daripada rtHPV

Hasilnya hanya diukur dalam kumpulan umur yang lebih muda untuk perbandingan ini (15 hingga 25 tahun). Vaksin HPV, mengurangkan risiko prakanser serviks yang berkaitan dengan HPV16/18 daripada 164 kepada wanita 2/10,000 (kepastian tinggi). Vaksin juga mengurangkan mana-mana prakanser daripada 287 kepada 106/10,000 (kepastian tinggi).

2) Wanita yang bebas daripada HPV16/18

Kesan vaksin HPV keatas risiko prakanser berbeza mengikut kumpulan umur. Di kalangan wanita muda, vaksin HPV, mengurangkan risiko prakanser berkaitan dengan HPV16/18 daripada 113 6/10,000 wanita (kepastian tinggi). Vaksin HPV mengurangkan bilangan wanita dengan mana-mana prakanser daripada 231 kepada 95/10,000(kepastian (kepastian tinggi) Di kalangan wanita berumur lebih dari 25, vaksin mengurangkan jumlah prakanser berkaitan dengan HPV16/18 dari 45 kepada 14/10,000 (kepastian sederhana).

3) Semua wanita dengan atau tanpa jangkitan HPV

Dalam kalangan wanita berumur 15 hingga 26 tahun yang mendapat vaksin, vaksin HPV mengurangkan risiko prakanser yang berkaitan dengan HPV16/18 daripada 341 157/10,000 (tinggi kepastian) dan mana-mana prakanser daripada 559 kepada 391/10,000 (kepastian tinggi)

Dalam kalangan wanita yang lebih tua yang divaksinasikan di antara 25 hingga 45 tahun, kesan vaksin HPV keatas prakanser adalah lebih kecil, dan ini mungkin disebabkan oleh pendedahan dahulu terhadap HPV. Risiko prakanser yang dikaitkan dengan HPV16 / 18 mungkin menurun daripada 145/10,000 pada wanita yang tidak divaksinasi kepada 107/10,000 setelah vaksinasi HPV (kepastian sederhana). Risiko mana-mana prakanser kemungkinan sama diantara wanita yang tidak divaksinasi dan divaksinasi (343/10,000 berbanding dengan 356/10,000, kepastian sederhana).

Kesan buruk

Risiko peristiwa kesan buruk serius adalah sama dalam HPV dan vaksin kawalan (plasebo atau vaksin terhadap jangkitan lain dari HPV (kepastian tinggi). Pada keseluruhannya, kadar kematian adalah sama (11/10,000 dalam kumpulan kawalan, 14/10,000 dalam kumpulan vaksin HPV ) ( kepastian rendah). Bilangan kematian keseluruhan adalah rendah walaupun diperhatikan bilangan kematian lebih tinggi dalam kalangan wanita lebih tua. Tiada corak dalam punca atau masa kematian telah ditemui.

Hasil kehamilan

Vaksin HPV tidak meningkatkan risiko keguguran atau penamatan kehamilan. Kami tidak mempunyai data yang mencukupi untuk memastikan risiko kematian bayi dalam kandungan dan bayi yang dilahirkan dengan kecacatan (kepastian sederhana).

Kesimpulan
Terdapat bukti kepastian tinggi bahawa vaksin HPV melindungi gadis-gadis remaja dan wanita yang mendapat vaksinasi diantara 15 hingga 26 tahun daripada prakanser serviks. Perlindungan adalah lebih rendah apabila sebahagian daripada penduduk telah dijangkiti dengan HPV. Susulan jangka panjang diperlukan untuk menilai kesan vaksin ke atas kanser serviks. Vaksin ini tidak meningkatkan risiko kesan buruk yang serius, keguguran atau penamatan kehamilan. Terdapat data yang terhad dari kajian mengenai kesan vaksin keatas kematian, kelahiran mati, dan bayi yang dilahirkan dengan kecacatan .

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai, RCSI & UCD Malaysia Campus (formerly Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong, RCSI & UCD Malaysia Campus (formerly Penang Medical College). untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi nila@rcsiucd.edu.my

Tools
Information