Soalan ulasan
Berkesankah intervensi penjagaan kesihatan untuk mencegah strok berulang atau peristiwa kardiovaskular lain dalam kalangan orang yang pernah mengalami strok atau serangan iskemia sementara (TIA: juga dikenali sebagai strok mini)?
Latar belakang
Strok dan TIA adalah penyakit yang disebabkan oleh gangguan bekalan darah ke otak. Orang yang mengalami strok atau TIA berisiko mengalami strok pada masa akan datang. Beberapa ubat dan perubahan gaya hidup boleh diguna untuk menurunkan risiko strok dengan memperbaik kawalan faktor risiko boleh ubah seperti tekanan darah, lemak darah, lebih berat badan, peningkatan gula darah, dan penggunaan ubat pencegahan. Faktor risiko ini sering tidak diurus dengan berkesan berikutan strok atau TIA. Adalah penting untuk mengenal pasti intervensi penjagaan kesihatan yang dapat membantu mencegah strok dengan memperbaik faktor-faktor risiko ini. Intervensi dalam ulasan ini mensasarkan pesakit atau doktor, atau kedua-duanya (bertujuan untuk pendidikan atau mengubah tingkah laku, atau kedua-duanya); dan organisasi (misalnya mengubah cara perkhidmatan disediakan).
Ini adalah kemaskini ulasan yang diterbitkan pada 2014.
Tarikh carian
Kami mencari kajian-kajian sehingga April 2017.
Ciri-ciri kajian
Ulasan kemas kini ini menyertakan 16 kajian baharu melibatkan 25,819 peserta, yang melibatkan sejumlah 42 kajian termasuk 33,840 dengan strok atau TIA yang berumur purata antara 60 hingga 74.3 tahun. Kebanyakan kajian berlangsung di persekitaran penjagaan primer atau komuniti. Enam belas kajian melibatkan intervensi pendidikan atau tingkah laku untuk peserta dan 26 kajian melibatkan intervensi organisasi. Kebanyakan intervensi berlangsung antara tiga dan 12 bulan, dengan tempoh susulan tiga bulan hingga tiga tahun.
Keputusan utama
Perubahan kepada perkhidmatan kesihatan yang hanya melihat pendidikan atau tingkah laku pesakit, tanpa perubahan dalam organisasi penjagaan pesakit, tidak menunjukkan bukti jelas pembaikan faktor-faktor risiko strok. Perubahan dalam organisasi perkhidmatan penjagaan kesihatan menunjukkan pembaikan dalam kawalan tekanan darah. Kesan intervensi ini terhadap perubahan lemak darah, gula darah, berat badan, atau penggunaan ubat-ubatan adalah tidak konklusif.
Kami mengenal pasti 24 kajian yang sedang berlangsung yang mencadangkan penyelidikan dalam bidang ini semakin meningkat.
Kualiti bukti
Bukti sedia ada dinilai sebagai berkualiti sederhana atau rendah kerana variasi kaedah yang diguna dan hasil dilapor.
Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.