Korona tunggal atau tampalan lazim untuk merestorasi gigi yang akar bertampal.

Soalan ulasan

Ulasan ini (kemaskini terbitan asal 2012) dibuat untuk menilai sama ada terdapat perbezaan dalam keberkesanan merestorasi gigi yang akar bertampal (ada atau tiada tiang dan teras) secara tidak langsung (lazimnya korona, inlai atau onlai) berbanding bahan-bahan tampalan konvensional yang diletakkan ke dalam gigi.

Latarbelakang

Tampalan akar adalah prosedur pergigian lazim di mana saraf gigi yang cedera atau mati dibuang dan diganti dengan tampalan akar. Namun, restorasi gigi yang akarnya bertampal adalah mencabar kerana gigi-gigi ini lebih lemah berbanding dengan gigi yang sihat.Doktor pergigian boleh menggunakan korona (restorasi yang dibuat di luar mulut dan disimen kepada gigi) atau tampalan konvensional (tampalan terus dengan bahan seperti amalgam atau komposit/resin plastik). Walaupun korona boleh melindungi gigi yang akarnya bertampal dengan menutupinya, tampalan konvensional perlu kurang masa, kos dan pembuangan struktur gigi.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari literatur perubatan sehingga 26 Mac 2015.Ulasan ini termasuk satu kajian yang melibatkan 117 peserta yang mana sebatang gigi (117 pramolar) menerima tiang gentian karbon dan direstorasikan dengan sama ada korona porselin terlakur logam atau tampalan putih rutin. Kajian jangkamasa pendek (tiga tahun) ini memasukkan bilangan peserta yang kecil dan mempunyai risiko serong yang tinggi kerana keputusan yang hilang akibat keciciran peserta kajian.

Keputusan utama

Bukti yang dihasilkan oleh kajian tunggal ini merumuskan tidak terdapat kegagalan serius di antara 117 pramolar yang ditampal akar (iaitu yang tidak dapat dibaiki) selepas tiga tahun walaupun hanya 104 gigi dimasukkan ke dalam penilaian akhir setelah tiga tahun.Kajian merumuskan tidak terdapat perbezaan risiko kegagalan di antara rawatan tersebut.Tidak ada bukti untuk mana-mana hasil kajian sekunder penulis ulasan: iaitu kepuasan pesakit dan kualiti kehidupan, insidens atau perulangan reputan, status kesihatal periodontal, dan kos.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah sangat rendah.Oleh kerana hanya ada satu kajian yang berisiko serong tinggi, tiada cukup bukti yang boleh dipercayai untuk menentukan sama ada korona tunggal adalah lebih baik daripada tampalan rutin.Kajian lanjut patut memberi maklumat yang lebih pasti untuk membantu pengamal pergigian membuat keputusan tentang rawatan yang sesuai disamping mempertimbangkan keadaan individu dan keutamaan pesakit sendiri.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information