Sinar-X dada untuk jangkitan dada yang akut

Jangkitan dada yang akut (jangkitan saluran pernafasan bahagian bawah) seperti pneumonia, bronkitis dan bronkiolitis merupakan sebab yang utama kematian di seluruh dunia dan dijangka akan menjadi antara empat punca teratas yang menyumbang kepada kematian menjelang 2030. Kumpulan populasi yang paling banyak mendapat kesan adalah kanak-kanak di bawah 59 bulan dan orang dewasa yang berusia 50 tahun ke atas. Pesakit jangkitan dada kebiasaannya mengalami demam, batuk, sesak nafas dan kahak. Sinar-X dada selalu digunakan untuk membantu membuat diagnosa dan mengurus jangkitan dada dan digunakan secara meluas di negara-negara berpendapatan tinggi. Walau bagaimanapun, impak sinar-X dada dari segi keberkesanannya dalam mengubah pemulihan pesakit yang disyaki mempunyai jangkitan dada masih belum dinilai. Kami memberi tumpuan sama ada penggunaan sinar-X dada berbanding tidak menggunakannya membawa kepada hasil yang lebih baik seperti kadar pemulihan yang lebih cepat, pengurangan masa berada di hospital dan pengurangan komplikasi kepada pesakit. Kami tidak menyiasat penggunaan sinar-X dada sebagai alat untuk membuat diagnosis jangkitan dada atau perbezaan tafsiran sinar-X dalam kalangan doktor.

Dua kajian dengan sejumlah 2024 peserta telah dimasukkan ke dalam ulasan ini. Kajian yang diterbitkan pada tahun 1983 di Amerika Syarikat hanya melibatkan orang dewasa sahaja, manakala kajian pada tahun 1998 di Afrika Selatan hanya melibatkan kanak-kanak. Kedua-dua kajian tersebut telah dijalankan di kota metropolitan yang besar. Kami tidak dapat menggabungkan hasil daripada dua kajian tersebut kerana data tidak lengkap. Walau bagaimanapun, kedua-dua kajian ini telah mencapai kesimpulan yang sama tentang penggunaan sinar-X untuk jangkitan dada, kecuali pada sub kumpulan pesakit dengan bukti jangkitan (infiltrates) pada helaian sinar-X mereka. Bagi kedua-dua orang dewasa dan kanak-kanak, sinar-X dada tidak memberikan perbezaan yang ketara dari segi masa pemulihan.

Secara ringkas, tiada perbezaan dalam hasil bagi pesakit antara kumpulan dengan sinar-X atau tidak. Walaupun kedua-dua kajian mencadangkan sinar-X dada tidak memberi peningkatan hasil, ia adalah tidak jelas sama ada ia boleh diaplikasikan kepada semua populasi dan keadaan. Keputusan mungkin berbeza di negara-negara yang kekurangan sumber. Kesimpulan kami adalah terhad berikutan kekurangan data yang lengkap dan juga disebabkan oleh risiko serong kajian. Kesan-kesan buruk sinar-X dada tidak dinilai oleh kedua-dua kajian ini. Kami menilai kualiti bukti daripada kedua-dua kajian ini sebagai sederhana. Bagi baki ulasan ini, sinar-X akan dirujuk sebagai radiograf.

Bukti ini adalah yang terkini sehingga Februari 2013.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nur Farahim Daud (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi nfarahim@ms.pmc.edu.my

Tools
Information