Blok paravertebral berbanding epidural toraks untuk pesakit yang menjalani torakotomi

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti tentang kesan blok paraverterbral dan epidural toraks untuk pesakit yang menjalani torakotomi. Kami menemui 14 kajian.

Latar belakang

Pembedahan ke atas struktur di dada (lazimnya paru-paru) melibatkan pemotongan di antara tulang rusuk (torakotomi) yang mengakibatkan kesakitan yang melampau. Kelegaan kesakitan yang perlahan selepas pembedahan akan melambatkan penyembuhan dan meingkatkan risiko untuk penghasilan komplikasi. Pengurusan kesakitan akut selepas torakotomi yang efektif boleh mencegah komplikasi ini dan mengurangkan kebarangkalian menghasilkan kesakitan jangka panjang. Kami ingin mengetahui sama ada menyekat saraf ketika ia muncul dari ruang tulang belakang (blok paravertebral, (PVB)) lebih baik atau lebih buruk daripada menggunakan blok saraf neuraxial (blok epidural toraks, (TEB)).

Bukti ini adalah terkini sehingga 16hb Oktober 2013. Kami mengulangi carian 31hb pada Januari 2015. Kami menemui satu kajian tambahan yang sedang menunggu klasifikasi dan yang akan kami sertakan semasa kami mengemas kini ulasan.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui 14 kajian yang melibatkan 698 orang peserta. Walaupun kesemua 14 kajian membandingkan keberkesanan analgesik PVB dan TEB pada peserta yang menjalani torakotomi terbuka, terdapat perbezaan yang signifikan dari segi masa, kaedah penyisipan dan ubatan yang digunakan dalam PVB dan TEB. Ini menjadikan perbandingan langsung adalah sukar. Susulan pesakit terhad pada tempoh sejurus selepas pembedahan (sehingga lima hari selepas pembedahan) dengan hanya dua kajian yang melaporkan hasil jangka panjang seperti kesakitan kronik. Dua kajian sedang menunggu klasifikasi.

Keputusan-keputusan utama

Kami tidak menemui perbezaan antara PVB dan TEB dari segi kematian pada 30 hari dan komplikasi besar. PVB nampaknya berkesan sama seperti TEB dalam kawalan kesakitan selepas pembedahan. TEB dikaitkan dengan komplikasi kecil seperti tekanan darah rendah, mual dan muntah, gatal-gatal dan pengekalan kencing jika dibandingkan dengan PVB. Kami tidak menemui sebarang perbezaan dalam tempoh tinggal di hospital antara PVB dan TEB. Maklumat adalah tidak mencukupi untuk menilai kesakitan kronik dan kos kesihatan.

Kualiti bukti

Kami menemui bukti berkualiti rendah untuk kematian pada 30 hari, dengan maklumat yang terhad diberikan oleh hanya dua kajian yang melaporkan hasil ini. Kami hanya menemui bukti berkualiti sangat rendah untuk komplikasi besar kerana kekurangan maklumat, dengan hanya satu kajian yang melaporkan hasil ini. Kami menjumpai bukti berkualiti sederhana untuk kawalan kesakitan akut dalam tempoh sejurus selepas pembedahan. Kami menemui bukti berkualiti sederhana untuk komplikasi kecil.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information