Apa isunya?
Semasa fasa kedua bersalin, teknik yang biasa digunapakai adalah dengan menggalakkan wanita menarik nafas panjang pada peringkat permulaan pengejangan rahim kemudian menahan nafasnya sepanjang pengejangan tersebut (ini dikenali sebagai teknik peneranan terbimbing). Dalam peneranan spontan, si ibu bebas mengikut naluri sendiri dan secara amnya menolak tiga sehingga lima kali setiap kali rahim mengejang. Peneranan tertangguh adalah teknik meneran di mana si ibu diarahkan untuk elakkan meneran sehingga terdapat dorongan meneran yang tidak tertahan atau apabila bahagian bayi peneraju telah mulai turun ke bahagian kerampang.
Mengapakah hal ini penting?
Kita perlu mengetahui faedah dan keburukan yang mungkin boleh terjadi terhadap keadaaan ibu dan janin untuk setiap teknik peneranan yang dipraktikkan semasa persalinan ekspulsif.
Apakah bukti yang telah kami temui?
Kami mencari untuk bukti pada (tarikh carian 19 September 2016) dan telah mengenal pasti lapan kajian (884 wanita) yang telah membandingkan teknik peneranan: meneran secara spontan berbanding menolak terbimbing sama ada berserta analgesia epidural atau tidak, serta 13 kajian (2879 wanita) yang membandingkan titik masa meneran: iaitu peneranan tertunda berbanding peneranan segera yang digunapakai bersama-sama analgesia epidural. Kualiti bukti dalam ulasan yang dikemas kini ini adalah daripada kualiti sederhana hingga sangat rendah.
Perbandingan 1: Peneranan spontan berbanding peneranan terbimbing
Untuk jenis peneranan (peneranan secara spontan berbanding terbimbing) tidak terdapat perbezaan ketara dari segi tempoh fasa kedua bersalin ( bukti yang bermutu sangat rendah ), risiko kecederaan kerampang ( bukti yang bermutu rendah ), episiotomi, tempoh meneran ( kualiti bukti yang sangat rendah ), ataupun bilangan wanita dengan kelahiran faraj secara spontan ( bukti berkualiti yang sederhana ). Hasil yang berkaitan dengan bayi (seperti skor Apgar lima minit kurang daripada tujuh (kualiti bukti sangat rendah), kemasukan ke rawatan rapi neonatal (kualiti bukti sangat rendah)) tidak jelas berbeza. Tiada kajian yang melaporkan hasil bayi dengan ensefalopati iskemia hipoksik.
Perbandingan 2: Peneranan tertunda berbanding peneranan segera (wanita dengan epidural)
Tempoh meneran: peneranan tertunda berbanding peneranan segera dalam kalangan ibu (semua ibu menerima epidral) - peneranan tertunda dikaitkan dengan tempoh fasa kedua yang lebih lama, iaitu selama kira-kira 56 minit ( bukti berkenaan hasil ini sangat bermutu). Tiada perbezaan yang jelas antara kedua-dua kumpulan dalam bilangan wanita yang mengalami laserasi perineum ( bukti kualiti sederhana ) dan episiotomi. Peneranan tertangguh mengurangkan tempoh menolak sebanyak kira-kira 19 minit ( bukti yang sangat rendah kualitinya ), dan sedikit meningkatkan bilangan ibu yang dapat mengalami persalinan faraj spontan ( bukti ini bermutu sederhana ). Tidak ada perbezaan yang ketara antara pendekatan peneranan tertunda dan peneranan segera dari segi aspek kesihatan bayi yang penting: Skor Apgar kurang daripada tujuh pada lima minit ( bukti yang sangat berkualiti rendah ), kadar kemasukan ke unit rawatan rapi neonatal ( bukti berkualiti rendah ). Tiada kajian-kajian yang melaporkan kesan pada bayi yang mengalami kerosakan otak akibat kekurangan bekalan oksigen ke otak. Tambahan pula, peneranan tertunda dikaitkan dengan peningkatan insiden pH tali pusat rendah dan meningkatkan kos penjagaan intrapartum sebanyak CDN$ 68.22.
Apakah maksudnya?
Kami tidak dapat menyatakan sama ada kaedah peneranan spontan atau peneranan terbimbing adalah teknik peneranan yang terbaik. Sehingga kajian berkualiti tinggi lanjut dilaksanakan, si ibu harus digalakkan untuk meneran menurut keselesaan dan pilihan mereka.
Penangguhan proses peneranan dalam kalangan wanita yang menggunakan epidural memendekkan masa yang dihabiskan untuk meneran semasa bersalin, dan meningkatkan kebarangkalian si ibu akan mengalami kelahiran faraj spontan. Namun demikian, pendekatan ini memanjangkan tempoh fasa kedua. Kesan yang mungkin pada kesihatan janin dan risiko ibu mengalami kecederaan kerampang (iaitu robekan serius) masih belum jelas. Oleh itu, bukti masih tidak mencukupi dan tidak konklusif untuk menyaran sebarang waktu yang khusus untuk meneran, serta tidak cukup untuk menyaran cara peneranan yang terbaik memandangkan tiada bukti kukuh untuk menentukan cara peneranan yang harus digunakan dalam amalan klinikal.
Kajian rawak terkawal menggunakan perkaedahan yang mantap diperlukan untuk menjana lebih banyak maklumat yang berlandaskan bukti. Kajian harus mengarah kepada dapatan klinikal yang penting ke atas kesihatan ibu dan bayi dan menjana data yang lebih menyeluruh apabila ulasan dikemaskini pada masa akan datang.
Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my