Perkara utama
- Rawatan psikologi berdasarkan terapi tingkah laku kognitif (yang memfokuskan kepada perubahan pemikiran dan tingkah laku) mungkin mempunyai kesan positif yang kecil terhadap kemurungan, kualiti hidup dan aktiviti harian pada penghidap demensia atau gangguan kognitif ringan (MCI).
- Tiada bukti yang cukup untuk mengetahui sama ada sebarang rawatan psikologi membantu mengurangkan keresahan/kerungsingan pada penghidap demensia atau MCI.
- Lebih banyak bukti diperlukan tentang pelbagai jenis rawatan psikologi dan memilih rawatan yang terbaik bagi kumpulan pesakit yang tertentu.
Apa itu demensia dan gangguan kognitif ringan?
Demensia adalah keadaan di mana masalah bermula dengan kognisi (ingatan dan kemahiran berfikir). Seseorang yang mengalami demensia tidak dapat lagi menguruskan semua aktiviti harian mereka secara berdikari. Kemerosotan kognitif ringan (MCI) ialah masalah yang kurang teruk dan tidak mempunyai kesan yang ketara terhadap aktiviti harian. Sesetengah orang dengan MCI akan berakhir dengan demensia.
Apakah yang kami maksudkan dengan rawatan psikologi?
Rawatan psikologi, kadangkala dikenali sebagai 'terapi bercakap', adalah berdasarkan teori psikologi. Rawatan ini melibatkan ahli terapi yang bekerja bersama-sama dengan individu atau sekumpulan kecil peserta untuk membina kemahiran dan strategi untuk meningkatkan kesejahteraan hidup. Rawatan ini boleh disesuaikan bagi mereka yang mengalami masalah kognitif.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kemurungan dan kerunsingan adalah perkara yang kerap dialami oleh penghidap demensia dan MCI, tetapi cara terbaik untuk merawat mereka masih tidak jelas. Ubat yang sering digunakan untuk merawat masalah ini mungkin tidak berkesan untuk penghidap demensia dan boleh menyebabkan kesan sampingan, jadi banyak garis panduan mengesyorkan rawatan psikologi dilakukan terlebih dahulu. Kami berminat dengan terapi psikologi yang bertujuan untuk mengurangkan gejala kebimbangan/kerungsingan atau kemurungan atau untuk meningkatkan kesejahteraan emosi penghidap demensia atau MCI. Terdapat pelbagai jenis rawatan psikologi yang berbeza. Kami ingin mengetahui sejauh mana keberkesanan setiap rawatan untuk simptom kemurungan dan kebimbangan pada penghidap demensia atau MCI. Kami juga ingin mengetahui tentang kesan ke atas kualiti hidup, keupayaan untuk menguruskan aktiviti harian dan kemahiran berfikir, dan untuk mengetahui sama ada rawatan itu mempunyai sebarang kesan yang tidak diingini.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan rawatan psikologi dengan penjagaan biasa, atau penjagaan biasa dengan rawatan lain yang bukan rawatan psikologi khusus.
Kami membahagikan rawatan psikologi kepada beberapa kategori luas berdasarkan teori di belakangnya dan kandungan sesi rawatan, dan kami melihat setiap kategori secara berasingan. Kami membandingkan dan meringkaskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami mendapati 29 kajian yang menyertakan 2599 orang dengan demesia atau MCI. Kebanyakan bukti yang kami temui adalah mengenai rawatan berdasarkan terapi tingkah laku kognitif (CBT, yang bertujuan untuk mengubah pemikiran dan tingkah laku) dan rawatan yang bertujuan untuk menyokong kesejahteraan, yang kami panggil kaunseling dan terapi sokongan. Kami juga menemui sebilangan kecil kajian tentang terapi kognitif berasaskan kesedaran dan terapi interpersonal. Majoriti kajian melihat kesan ke atas kemurungan, tetapi sangat sedikit kajian melihat kepada tahap kerisauan sebagai hasil kajian.
Bukti yang kami temui menunjukkan bahawa:
- Rawatan berasaskan CBT mungkin mengurangkan simptom kemurungan, meningkatkan kualiti hidup dan keupayaan untuk menguruskan aktiviti harian pada akhir tempoh rawatan pada penghidap demensia atau MCI, walaupun begitu kesannya kecil. Kami tidak dapat memastikan sebarang kesan terhadap kerisauan. Terdapat beberapa bukti bahawa kesan ke atas kemurungan mungkin bergantung pada betapa teruknya simptom kemurungan sebelum permulaan rawatan, sama ada mereka yang mempunyai diagnosis demensia atau MCI dan juga jenis rawatan yang digunakan, tetapi lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk kepastian tentang perkara ini.
- Rawatan sokongan dan kaunseling mungkin tidak memberi kesan kepada simptom kemurungan pada akhir rawatan dan tiada bukti yang mencukupi untuk kita mengetahui sama ada ianya memberi sebarang kesan ke atas kebimbangan.
- Kami tidak pasti tentang kesan terapi berasaskan kesedaran atau terapi interpersonal kerana terdapat sangat sedikit kajian mengenai kaedah-kaedah ini.
Terdapat maklumat yang terhad tentang kesan yang tidak diingini berkaitan dengan mana-mana rawatan.
Kami juga menemui 14 kajian yang masih berjalan, jadi kami menjangkakan akan terdapat lebih banyak bukti tentang persoalan kami dalam beberapa tahun yang akan datang.
Apakah batasan bukti tersebut?
Kami agak pasti tentang kesan positif kecil rawatan berasaskan CBT terhadap kemurungan, kualiti hidup dan aktiviti harian, tetapi kurang pasti tentang keputusan lain. Kebanyakan peserta dalam ulasan mengalami demensia dengan tahap keterukan ringan hingga sederhana jadi keputusan mungkin tidak terpakai kepada mereka yang mengalami MCI atau demensia yang lebih teruk. Sangat sedikit kajian yang menyertakan peserta yang mengalami tahap kemurungan yang ketara sebelum rawatan, walaupun mereka sebenarnya adalah orang yang paling mungkin ditawarkan rawatan perubatan. Belum ada bukti yang mencukupi untuk dapat menyatakan mereka yang paling berkemungkinan mendapat manfaat daripada rawatan psikologi yang mana.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini adalah terkini sehingga Januari 2021.
Diterjemahkan oleh Wan Anisa Hanim Binti Mohd Nasir@Azman. Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini , sila hubungi cochtane@rcsiucd.edu.my