Suntikan glukokortikoid berpandukan imej berbanding suntikan glukokortikoid secara buta untuk sakit bahu

Latar belakang

Kesakitan bahu sering kali disebabkan oleh penyakit rotator cuff, atau capsulitis melekat ('bahu beku'). Rotator cuff adalah sekumpulan tendon yang memegang sendi bahu pada setempat yang membolehkan orang mengangkat lengan. Kesakitan bahu boleh dikaitkan dengan kehausan atau keradangan pada tendon bahu, dan tekanan tulang yang terlaluu banyak pada tendon ketika mengangkat lengan (penyekatan). Kedua-dua keadaan menyebabkan kesakitan dengan pergerakan dan sering kali menyebabkan kesakitan pada waktu malam dan apabila tidur di bahagian yang terjejas; capsulitis melekat juga menyebabkan kekakuan bahu.

Suntikan glukokortikoid dapat melegakan sakit bahu tetapi kesan itu biasanya hilang selepas enam hingga lapan minggu. Secara tradisional, suntikan diberikan menggunakan tanda tempat anatomi di sekitar bahu. Kadang-kadang teknik pengimejan, seperti ultrasound, digunakan untuk memandu suntikan ke dalam bahu dengan lebih tepat. Adalah tidak diketahui sama ada suntikan berpandukan imej melegakan sakit bahu dengan lebih berkesan berbanding suntikan yang diberikan tanpa pengimejan.

Ciri-ciri kajian

Ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga 15 April 2021. Sembilan belas kajian (1035 peserta) membandingkan suntikan berpandukan ultrasound dengan suntikan 'buta'. Empat belas kajian menyertakan peserta dengan penyakit rotator cuff, empat dengan capsulitis melekat, dan satu dengan sakit bahu yang bercampur. Kajian dijalankan di Korea, Taiwan, Iran, Turki, Australia, Norway, Sepanyol, Ireland, India dan Switzerland. Sebilangan besar peserta adalah wanita, dengan usia rata-rata dari 31 hingga 60 tahun, dan tempoh gejala rata-rata dari 2 hingga 23 bulan. Enam kajian melaporkan sumber pendanaan.

Hasil utama

Berbanding dengan suntikan ke bahu tanpa panduan imej, suntikan berpandukan ultrasound menghasilkan sedikit atau tiada manfaat pada tiga hingga enam minggu:

Sakit (skor lebih rendah bermakna kurang kesakitan)

Peningkatan sebanyak 0.5 mata lebih (0.2 lebih hingga 0.8 lebih) pada skala 0 hingga 10 mata. Perbezaan 0.5 hingga 1.0 mata dianggap kecil atau sedikit dan mungkin tidak penting secara klinikal.

- Orang yang menerima suntikan berpandukan ultrasound menilai kesakitan mereka sebanyak 2.6 mata

- Orang yang menerima suntikan tanpa panduan imej menilai kesakitan mereka sebanyak 3.1 mata

Fungsi (skor lebih tinggi bermaksud fungsi yang lebih baik)

Peningkatan sebanyak 2.4 mata lebih (0.2 mata lebih teruk hingga 5.1 mata lebih) pada skala 0 hingga 100 mata. Perbezaan di bawah 10 mata dianggap kecil atau sedikit dan mungkin tidak penting secara klinikal.

- Orang yang menerima suntikan berpandukan ultrasound menilai fungsi mereka sebanyak 70.4 mata

- Orang yang menerima suntikan tanpa panduan imej menilai fungsi mereka sebanyak 68 mata

Kualiti hidup (skor yang lebih tinggi bermaksud kualiti hidup yang lebih baik)

Bertambah baik sebanyak 2.8% (0.7% lebih teruk hingga 6.4% lebih baik) pada skala 0 hingga 100 mata

- Orang yang menerima suntikan berpandukan ultrasound menilai kualiti hidup mereka sebagai 67.8 mata

- Orang yang menerima suntikan tanpa panduan imej menilai kualiti hidup mereka sebagai 65 mata

Kejayaan rawatan (ditakrifkan sebagai sakit sederhana atau jauh lebih baik)

Lebih 22% pesakit menilai rawatan mereka sebagai berjaya (4% kurang hingga 62% lebih banyak), atau lebih 22 lagi orang daripada 100.

• 61 daripada 100 orang melaporkan kejayaan rawatan dengan suntikan berpandukan imej

- 39 daripada 100 orang melaporkan kejayaan rawatan dengan suntikan tanpa panduan imej

Kejadian buruk

Kurang 7% orang (15% lebih sedikit hingga 7% lebih banyak) mengalami kejadian buruk (kesakitan selepas suntikan, kemerahan dan kehangatan muka) dengan suntikan berpandukan ultrasound.

- 18 daripada 100 orang melaporkan kejadian buruk dengan suntikan berpandukan ultrasound

- 25 daripada 100 orang melaporkan kejadian buruk dengan suntikan tanpa panduan imej

Kejadian buruk yang serius

Lima kajian melaporkan bahawa tidak ada kejadian buruk yang serius (seperti jangkitan atau kecederaan saraf) dengan atau tanpa penggunaan panduan ultrasound untuk suntikan.

Penarikan diri oleh peserta disebabkan kesan-kesan tidak diingini

Satu kajian melaporkan bahawa 1/53 (atau 19 daripada 1000) orang yang menerima suntikan tanpa panduan imej menarik diri dari kajian kerana kejadian buruk, sementara tiada sesiapa (0/53) dalam kumpulan suntikan berpandukan ultrasound yang menarik diri kerana kejadian buruk.

Kualiti bukti

Bukti kepastian rendah hingga sederhana menunjukkan bahawa pada orang yang mengalami sakit bahu, suntikan berpandukan ultrasound tidak memberikan manfaat klinikal yang penting bagi kesakitan, fungsi atau kualiti hidup berbanding dengan suntikan tanpa imej, dan juga tidak mengurangkan risiko kejadian buruk . Penemuan ini konsisten dengan keadaan bahu yang berbeza. Penyelidikan berkualiti tinggi selanjutnya tidak mungkin mengubah kesimpulan ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information