Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk menilai kesan penglibatan pekerja komuniti, seperti pekerja penjagaan primer dan guru, untuk membantu orang dengan gangguan mental atau kesusahan. Ulasan ini bertumpu pada kajian dari negara berpendapatan rendah dan sederhana dan menemui 95 kajian untuk disertakan (termasuk 23 dari ulasan sebelumnya).
Mesej utama
Profesional kesihatan primer, pekerja kesihatan awam, guru, dan pekerja komuniti mungkin dapat menolong orang dengan isu kesihatan mental sekiranya mereka dilatih. Namun, lebih banyak bukti adalah diperlukan.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Di negara berpendapatan rendah dan sederhana, kebanyakan orang dengan penyakit mental tidak menerima rawatan yang mereka perlukan kerana stigma dan kesukaran untuk mengakses perkhidmatan tersebut. Salah satu cara penyelesaian adalah dengan menawarkan perkhidmatan melalui 'pekerja peringkat primer'. Ini merupakan orang yang bukan pakar kesihatan mental tetapi telah menerima beberapa latihan kesihatan mental, termasuk profesional kesihatan primer (contohnya doktor, jururawat); pekerja kesihatan awam; sukarelawan komuniti; dan anggota masyarakat yang lain (contohnya guru, pekerja sosial). Pekerja peringkat primer memberikan perkhidmatan ini secara bersendirian atau melalui kolaborasi dengan pakar.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
95 ujian yang relevan dari 30 negara berpendapatan rendah atau sederhana telah ditemui.
Penulis ulasan mencari bukti berkaitan kesan strategi-strategi ini terhadap bilangan orang dengan masalah kesihatan mental, jumlah yang pulih, keterukan gejala mereka, kualiti hidup, fungsi seharian, penggunaan perkhidmatan kesihatan, dan kesan rawatan yang negatif. Semua keputusan diukur satu hingga enam bulan setelah selesai rawatan, kecuali pada kumpulan 5, di mana keputusan diukur terus setelah selesai rawatan. Apabila keputusan tidak dikemukakan, ini disebabkan ketiadaan bukti, atau kerana bukti itu sangat tidak pasti. Bukti bagi keputusan di bawah adalah berkepastian rendah hingga sederhana.
1. Orang dewasa dengan kemurungan dan kegelisahan
Rawatan dari pekerja kesihatan awam berbanding penjagaan biasa:
a. boleh meningkatkan pemulihan;
b. boleh mengurangkan bilangan orang dengan kemurungan/kegelisahan;
c. boleh meningkatkan kualiti hidup;
d. boleh meningkatkan sedikit fungsian seharian; dan
e. boleh mengurangkan risiko pemikiran/cubaan bunuh diri.
Rawatan dari pekerja peringkat primer yang berkolaborasi dengan pakar kesihatan mental berbanding dengan penjagaan biasa:
a. boleh meningkatkan pemulihan;
b. boleh mengurangkan bilangan orang dengan kemurungan/kegelisahan walaupun julat kesan sebenar menunjukkan yang ianya boleh mempunyai sedikit atau tiada kesan;
c. boleh mengurangkan sedikit gejala;
d. boleh meningkatkan sedikit kualiti hidup;
e. mungkin menyebabkan sedikit hingga tiada kesan terhadap fungsi seharian; dan
f. boleh mengurangkan rujukan kepada pakar kesihatan mental.
2. Wanita yang mengalami kemurungan berkaitan kehamilan dan kelahiran anak
Rawatan dari pekerja kesihatan awam berbanding penjagaan biasa:
a. boleh meningkatkan pemulihan;
b. mungkin mengurangkan sedikit gejala kemurungan;
c. boleh meningkatkan sedikit fungsi seharian;
d. boleh menyebabkan sedikit atau tiada kesan terhadap risiko kematian.
3. Orang dewasa dalam keadaan kemanusiaan dengan tekanan pasca trauma atau kemurungan dan kegelisahan
Rawatan dari pekerja kesihatan awam berbanding penjagaan biasa:
a. boleh mengurangkan sedikit gejala kemurungan; dan
b. mungkin meningkatkan sedikit kualiti hidup.
Rawatan dari profesional kesihatan primer berbanding penjagaan biasa:
a. boleh mengurangkan bilangan orang dewasa dengan tekanan dan kemurungan pasca trauma.
4. Orang dewasa dengan masalah penyalahgunaan alkohol atau dadah
Rawatan dari pekerja kesihatan awam berbanding penjagaan biasa:
a. boleh meningkatkan pemulihan dari kesan bahaya penggunaan alkohol walaupun julat bagi kesan sebenar menunjukkan bahawa ia boleh memberikan sedikit atau tiada kesan;
b. mungkin mengurangkan sedikit risiko penggunaan alkohol yang berbahaya;
c. boleh menyebabkan sedikit atau tiada kesan terhadap fungsi seharian; dan
d. boleh menyebabkan sedikit atau tiada kesan terhadap bilangan orang yang menggunakan metamfetamin;
Rawatan dari profesional kesihatan primer dan komuniti berbanding penjagaan biasa:
a. mungkin menyebabkan sedikit atau tiada kesan terhadap pemulihan daripada kesan bahaya penggunaan alkohol;
b. mungkin mengurangkan sedikit risiko penggunaan alkohol dan bahan yang berbahaya; dan
c. mungkin memberikan sedikit atau tiada kesan terhadap kualiti hidup.
5. Orang dewasa dengan gangguan mental yang teruk (contohnya skizofrenia)
Rawatan dari pekerja kesihatan awam berbanding pakar kesihatan mental sahaja:
a. boleh memberikan sedkit atau tiada kesan terhadap beban penjaga.
Rawatan dari profesional kesihatan primer sahaja atau kolaborasi dengan pakar kesihatan mental:
a. boleh meningkatkan fungsi seharian.
6. Orang dewasa dengan dementia dan penjaga mereka
Rawatan dari petugas kesihatan awam dan profesional kesihatan, berbanding penjagaan biasa:
a. boleh memberikan sedikit atau tiada kesan terhadap keterukan gejala tingkah laku pesakit dementia; dan
b. boleh mengurangkan kesusahan mental pengasuh.
7. Kanak-kanak dalam keadaan kemanusiaan dengan tekanan pasca trauma atau kemurungan dan kegelisahan
Rawatan dari pekerja kesihatan awam, berbanding penjagaan biasa atau langsung tiada penjagaan:
a. boleh memberikan sedikit atau tiada kesan terhadap gejala tekanan pasca trauma;
b. mungkin memberikan sedikit atau tiada kesan terhadap gejala kemurungan atau fungsi seharian; dan
c. boleh menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan pada risiko kejadian buruk.
Rawatan dari profesional dalam komuniti (guru dan pekerja sosial) berbanding dengan tanpa rawatan:
a. boleh memberikan sedikit atau tiada kesan terhadap gejala kemurungan; dan
b. boleh memberikan sedikit atau tiada perbezaan dalam kejadian buruk.
Setakat manakah ulusan ini terkini?
Asalnya diterbitkan pada November 2013, kemaskini ini merangkumi kajian yang diterbitkan hingga 20 Jun 2019.
Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my