Soalan ulasan
Pengarang Cochrane telah menyiasat keberkesanan dan keselamatan rawatan ubat atau rawatan bukan ubat (seperti ubat pelengkap dan alternatif) untuk wanita dengan kandidiasis vulvovagina berulang (thrush).
Latar belakang
Thrush di kawasan faraj/vulvar adalah disebabkan oleh Candida, sejenis yis yang biasa ditemui dalam faraj sebagai sebahagian daripada flora normal tanpa menyebabkan gejala. Atas sebab yang tidak diketahui, Candida boleh mula membesar dan menyebabkan gejala kandidiasis vulvovagina (biasanya dinamakan thrush). Gejala thrush vulvovagina termasuk gatal-gatal, bengkak, dan ketidakselesaan kawasan faraj dan vulva. Dianggarkan bahawa thrush vulvovagina yang tidak rumit menjejaskan sehingga 75% wanita pada suatu masa semasa tahun reproduktif mereka. Kandidiasis vulvovagina berulang (RVVC) berlaku apabila seorang wanita mempunyai empat atau lebih jangkitan kulat dalam tempoh 12 bulan. Sehingga 5% wanita mengalami RVVC. Sesetengah doktor menasihatkan untuk mengambil antikulat sebagai pencegahan, tetapi tidak ada garis panduan berasaskan bukti yang jelas.
Ciri-ciri kajian
Kami mengenal pasti 23 kajian yang melibatkan 2212 peserta berumur antara 17 dan 67 tahun dengan diagnosis RVVC yang disahkan oleh ujian positif. Kajian tersebut membandingkan pelbagai ubat antikulat (diambil melalui mulut atau dimasukkan ke dalam faraj), dan beberapa rawatan pelengkap atau alternatif (seperti vaksin Lactobacillus atau probiotik dan seluar dalam khas). Kajian melaporkan kesan ke atas berulangnya thrush selepas 6 dan 12 bulan. Hanya satu kajian melaporkan bilangan klinikal berulang pada 12 bulan. Sembilan kajian melaporkan pembiayaan industri, tiga dibiayai oleh sumber bebas dan sembilan kajian tidak melaporkan sumber pembiayaan mereka. Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2021.
Keputusan utama
Enam kajian (607 peserta) membandingkan ubat antikulat dengan plasebo atau tiada rawatan. Berdasarkan bukti kepastian yang rendah, rawatan antikulat boleh memberikan pengurangan klinikal yang relevan dalam berulang klinikal pada 6 dan 12 bulan. Kami tidak pasti sama ada rawatan oral lebih baik daripada rawatan topikal (bukti kepastian yang sangat rendah tanpa perbezaan).
Kesan buruk mengambil ubat antikulat untuk mengelakkan thrush berulang adalah tidak biasa. Kajian-kajian melaporkan kesan buruk secara berbeza, menjadikan perbandingan sukar. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menentukan ubat, dos dan kekerapan yang optimum. Kami tidak dapat menentukan kesan terhadap wanita yang hamil atau menghidap kencing manis.
Kepastian bukti
Keyakinan kami terhadap bukti adalah rendah hingga sangat rendah disebabkan kebimbangan serius tentang risiko berat sebelah, pelaporan yang tidak jelas dan bilangan kajian yang terhad yang boleh digabungkan. Ini bermakna kajian baharu mungkin mengubah keyakinan kita terhadap kesan rawatan dan kesimpulan kita.
Diterjemahkan oleh Amirul Mohd Sallehuddin Mannan (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my