Latar belakang: pesakit kritikal memerlukan teknologi bantuan hayat seperti ventilasi mekanikal (mesin pernafasan) dan boleh mengalami sakit, kebimbangan, dan kurang tidur yang berkait dengan penyakit mereka. Kawalan sakit yang baik dan sedasi yang cukup adalah penting tetapi terlalu banyak ubat sedatif boleh meningkatkan masa penggunaan mesin pernafasan dan peluang kesan berbahaya seperti pneumonia.
Ubat-ubatan sedia ada mempunyai banyak sifat yang menjadikannya sukar diguna dalam kalangan pesakit kritikal. Tanpa pelarasan teliti sifat-sifat ini boleh menyebabkan pengumpulan ubat di dalam badan. Ubat-ubatan ini diberi sebagai infusi berterusan, supaya paras darah kekal stabil, dan perubahan dos terserah kepada pilihan klinisian. Untuk mengelakkan pengumpulan ubat, beberapa kaedah boleh diguna untuk melaraskan dos. Sesetengah kajian mendakwa gangguan, atau menghentikan ubat untuk sesuatu tempoh masa setiap hari, membolehkan badan membersihkan ubat dan memjadikan pesakit lebih sedar dan bersedia untuk berhenti lebih awal dari mesin pernafasan.
Tarikh carian kini hingga Februari 2014.
Ciri-ciri kajian: kami memasukkan sembilan kajian melibatkan 1282 pesakit kritikal yang menerima ventilasi mekanikal. Kajian-kajian membandingkan gangguan ubat sedasi harian kepada strategi-strategi yang tidak memasukkan gangguan. Kajian-kajian dijalankan di seluruh dunia dan melibatkan pesakit kritikal perubatan dan pembedahan.
Keputusan utama: kami tidak mendapat bukti kukuh bahawa gangguan ubat sedasi harian mengurangkan tempoh ventilasi mekanikal, tempoh inap di unit rawatan rapi (ICU) atau hospital, kematian, atau amaun ubat yang digunakan. Kesan kepada peristiwa buruk seperti pembuangan tidak sengaja tiub pernafasan atau peranti invasif, atau kadar kecelaruan adalah tidak pasti. Walau bagaimanapun, trakeostomi kurang dilakukan dalam kalangan mereka yang diuruskan dengan gangguan ubat sedasi harian. Amalan sedasi berbeda di seluruh dunia, dan analisis kajian-kajian di Amerika Utara menunjukkan pengurangan masa di mesin pernafasan bagi mereka yang dirawat dengan gangguan ubat sedasi harian berbanding mereka yang tidak.
Kualiti bukti: kami menasihatkan agar berhati-hati dalam pentafsiran dan aplikasi penemuan kajian-kajian kami. Keputusan adalah berdasarkan sebilangan kecil kajian yang bersifat heterogen atau tidak seragam dari segi kaedah, pesakit yang dikaji, dan pengurusan klinikal dan keputusan keseluruhan kami hanya melintasi sedikit garisan tiada kesan.
Diterjemah oleh Nila Pillai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi nila@rsciucd.edu.my. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal),