Soalan ulasan
Kami mengulas bukti tentang kesan ubat yang bertujuan menghalang orang dengan penyakit sel sabit kehilangan protein atau albumin (protein yang dibuat dalam hati) dalam air kencing.
Latar belakang
Penyakit sel sabit adalah sekumpulan keadaan yang diwarisi yang sering membawa kepada kerosakan buah pinggang. Paras protein atau albumin yang tinggi di dalam air kencing adalah petunjuk yang kuat ke arah kegagalan buah pinggang di masa depan. Perencat enzim penukar angiotensin (ACE) sering diberi untuk mengurangkan paras protein atau albumin dalam air kencing dan untuk melindungi daripada kerosakan buah pinggang . Walau bagaimanapun, kita tidak tahu tentang keberkesanan dan keselamatannya dalam kalangan orang dengan penyakit sel sabit.
Tarikh carian
Bukti adalah terkini sehingga: 22 Ogos 2021.
Ciri-ciri kajian
Kami hanya sertakan dan menganalisis satu kajian (22 dewasa dengan penyakit sel sabit) dalam ulasan ini. Para peserta mempunyai paras protein (proteinuria) atau albumin (mikroalbuminuria) yang tinggi dalam air kencing dan dipilih secara rawak untuk dirawat selama enam bulan dengan captopril (perencat enzim penukar angiotensin) atau plasebo (ubat tiruan tanpa ubat aktif).
Keputusan utama
Keputusan daripada kajian kecil dan sangat rendah kualiti ini tidak meyakinkan. Kami menurunkan gred penilaian kepastian bukti kerana terdapat sekurang-kurangnya satu risiko bias yang tidak jelas atau risiko bias yang tinggi dalam hampir semua bahagian yang dinilai, serta ketidaktepatan (keputusan menunjukkan julat kemungkinan kesan yang besar dan keputusan yang tidak langsung (kajian tidak sertakan kanak-kanak dan hanya sebilangan kecil dewasa dengan tekanan darah normal dan mikroalbuminuria). Kajian ini tidak menunjukkan perencat ACE boleh mengurangkan paras protein atau albumin dalam air kencing. Paras kreatinin (sebatian kimia lebihan daripada proses penghasilan tenaga dalam otot; paras yang tinggi boleh menunjukkan kegagalan buah pinggang) dan kalium dalam darah dilaporkan malar sepanjang kajian. Tiada catatan tentang peristiwa buruk yang serius, walaupun potensi penyebab penurunan tekanan darah perlu ditekankan. Lebih banyak kajian jangka panjang melibatkan pelbagai pusat dan lebih ramai peserta diperlukan.
Kepastian bukti
Kepastian bukti adalah sangat rendah, kerana kami berpendapat terdapat risiko bias yang tinggi atau tidak jelas dari semua aspek yang boleh menyumbang kepada keputusan yang bias (contohnya perawakan, cara peruntukan rawatan disembunyikan, sama ada semua peserta yang diambil telah dianalisis, sama ada semua hasil yang dirancang dilaporkan, serta pembutaan peserta, kakitangan penyelidikan dan penilaian hasil). Kami juga maklum kajian tersebut tidak sertakan kanak-kanak, yang mengehadkan bukti untuk rawatan ini dalam kalangan kanak-kanak. Kiraan statistik kami tentang kesan mendapati ketidaktepatan yang tinggi. Mungkin terdapat pelaporan terpilih tentang paras natrium, tetapi paras elektrolit lain dilaporkan. Namun begitu, jumlah data dengan huraian terperinci hanya membenarkan analisis terhad dalam ulasan ini.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nor Akma Binti Mat Junoh (Universiti Sains Malaysia). Dikemaskini oleh Cochrane Malaysia. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).