Latar belakang
Penyakit iskemia kronik yang mengancam anggota badan (CLTI) adalah manifestasis penyakit arteri periferal yang berlaku secara iskemia kronik sakit semasa rehat atau luka kulit iskemik, bisul atau gangren dengan gejala yang ada selama melebihi dua minggu. Gejalanya adalah akibat gangguan aliran darah ke kaki dan tapak kaki kerana penyempitan arteri oleh aterosklerosis. Aterosklerosis adalah penyakit arteri yang disebabkan oleh penumpukan plak yang mengandungi lemak, kolesterol, kalsium dan bahan-bahan yang lain di dalam darah; lama-kelamaan, plak tersebut menyempitkan arteri. Pesakit boleh mengalami penyempitan arteri di paha atau di bawah lutut. Ulasan ini memfokuskan pada subkumpulan pesakit yang mengalami penyakit arteri dibawah lutut (penyakit arteri infrapopliteal) yang mungkin mendapat manfaat dari intervensi yang menetap semula aliran darah dengan memasukkan dan mengembangkan belon untuk membuka semula arteri yang disempitkan (percutaneous transluminal angioplasti). Ini boleh dilakukan dengan atau tanpa penambahan stent (perancah yang diperbuat daripada aloi logam atau bahan yang lain). Jenis stent yang digunakan dalam prosedur ini mempunyai kepelbagaian dari jenis stent logam telanjang sederhana kepada stent yang dilapisi ubat-ubatan. Namun, ia tidak jelas sama ada penggunaan stent selepas menggunakan belon dalam arteri yang sempit dibawah lutut (arteri infrapopliteal) memberikan faedah tambahan kepada pesakit.
Ciri-ciri kajian dan hasil-hasil utama
Kami telah mengenal pasti tujuh percubaan dengan gabungan 542 peserta yang membandingkan percutaneous transluminal angioplasty (PTA) dengan PTA dengan penempatan stent (semasa sehingga Jun 2018). Satu kajian memembahagikan secara rawak anggota badan kepada PTA sahaja atau PTA dengan penempatan stent, dan baki kajian membahagikan secara rawak para perserta. Analisis lima percubaan yang penuh menunjukkan bahawa rata kejayaan teknikal untuk membuka semula arteri yang disempitkan lebih tinggi dalam kumpulan stent berbanding dengan kumpulan PTA. Tetapi, kami mengenal pasti bahawa tiada perbezaan yang jelas dalam patensi (saluran yang dibuka tetap terbuka) saluran yang dirawat dalam enam bulan. Kadar komplikasi prosedur, jumlah amputasi major pada 12 bulan dan jumlah kematian pada 12 bulan juga tidak mempunyai perbezaan yang banyak antara kumpulan-kumpulan rawatan.
Kepastian bukti
Kepastian keseluruhan bukti yang dibekalkan oleh percubaan yang terlibat dalam ulasan ini adalah sederhana. Percubaan berbeza dalam kaedah mereka. Dua kajian melaporkan kekurangan dalam kaedah yang digunakan untuk menghasilkan nombor rawak dan untuk memperuntukkan peserta kepada kumpulan yang berbeza. Semua kajian adalah tanpa pembutaan. Semua kajian yang terlibat dinilai secara langsung dalam kaitannya dengan soalan ulasan. Secara keseluruhannya, kami telah menurunkan kepastian bukti untuk semua keputusan dengan satu tahap kepada sederhana kerana keputusan yang tidak setara di seluruh kajian dan bilangan kecil kajian dan peserta-peserta.
Kesimpulan
PTA dengan penempatan stent adalah lebih baik daripada PTA sahaja untuk memulihkan patensi saluran dengan segera; namun kami mendapati tiada perbezaan yang jelas dalam jangka masa yang pendek pada enam bulan antara kedua-dua kumpulan. Percubaan tidak menunjukkan perbezaan antara kumpulan dalam komplikasi pada atau sekitar waktu prosedur, amputasi bahagian yang besar dan kematian. Data semasa yang ada menunjukkan bahawa bukti kepastian yang tinggi tidak mencukupi untuk menunjukkan bahawa PTA dengan penempatan stent adalah lebih tinggi daripada PTA sahaja untuk rawatan luka arteri infrapopliteal. Kajian lanjutan harus menyeragamkan penggunaan ubat penipisan darah (antiplatelet/antikoagulan) sebelum dan selepas kedua-dua intervensi untuk memperbaiki perbandingan kedua-dua rawatan tersebut.
Diterjemahkan oleh Saw Le Er (Stephanie) (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my