Soalan ulasan
Kami mengulas bukti sama ada tiub endotrakeal (ETT) bersalut perak berkesan dalam mengurangkan risiko radang paru-paru yang berkait dengan ventilator (VAP) dan kematian di hospital berbanding dengan ETT standard tidak bersalut di kalangan orang yang memerlukan ventilasi mekanikal selama 24 jam atau lebih lama.
Latar belakang
Ventilasi mekanikal digunakan untuk membantu orang bernafas apabila mereka sangat tidak sihat dan sukar untuk bernafas sendiri. Tiub endotrakeal ialah tiub pakai buang yang dimasukkan ke dalam saluran pernafasan seseorang untuk membolehkan ventilasi mekanikal. Dalam ventilasi mekanikal, mesin digunakan untuk menggantikan pernafasan spontan semula jadi dan membenarkan udara masuk dan keluar dari paru-paru. Apabila digunakan untuk jangkamasa yang panjang, ventilasi mekanikal boleh menyebabkan masalah kepada pesakit. Ventilasi mekanikal dikaitkan dengan komplikasi. Perak adalah sejenis agen antimikrob (agen yang membunuh bakteria) yang telah digunakan berabad-abad lamanya untuk merawat dan mencegah jangkitan. Salutan perak di sekeliling ETT boleh mencegah VAP disebabkan oleh aktiviti antimikrobnya.
Ciri-ciri kajian
Kami mengenalpasti tiga kajian rawak terkawal yang melibatkan 2081 peserta. Tiada data hasil untuk satu kajian yang disertakan. Reka bentuk dua RCT yang lain secara amnya adalah baik, walaupun terdapat beberapa kelemahan. Kebanyakan peserta dimasukkan dari pusat sekitar Amerika Utara. Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2014. Kedua-dua RCT telah dibiayai tetapi menyatakan bahawa penaja hanya menyumbang kepada reka bentuk kajian dan tidak mengambil bahagian dalam menjalankan kajian.
Keputusan utama
Kami mendapati bahawa ETT bersalut perak mengurangkan risiko untuk mengalami VAP daripada 6.7% ke 3.5% dalam tempoh 10 hari dari intubasi berbanding dengan ETT tidak bersalut di kalangan orang yang memerlukan ventilasi mekanikal selama 24 jam atau lebih lama, walaupun kualiti bukti untuk hasil ini adalah rendah. Satu kajian menunjukkan bahawa kejadian VAP awal muncul lebih lewat di kalangan orang dengan ETT bersalut perak berbanding dengan ETT tidak bersalut, walaupun sekali lagi bukti adalah berkualiti rendah. Kami tidak dapat membuat kesimpulan tentang kematian di hospital, komplikasi berkaitan alat, tempoh intubasi, dan tempoh tinggal di hospital dan unit rawatan rapi kerana tidak pasti akan kesannya. Kami menemui tiada kajian klinikal yang menilai keberkesanan-kos ETT bersalut perak.
Kualiti bukti
Kualiti bukti secara keseluruhan adalah rendah untuk semua hasil yang diingini yang dinyatakan.
Kesimpulan
Bukti terhad mengesyorkan bahawa ETT bersalut perak nampaknya merupakan alat berkesan dalam mengurangkan risiko VAP, walaupun data untuk hasil utama kami yang lain bagi kematian di hospital tidak muktamad. Kajian yang lebih besar dengan lebih ramai peserta yang berisiko untuk VAP dan yang memerlukan ventilasi mekanikal untuk jangkamasa yang lebih panjang adalah diperlukan.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).