Apakah masalahnya?
Di seluruh dunia, kira-kira satu daripada tiga wanita yang tidak mengandung dalam usia reproduksi adalah anemia; iaitu mempunyai sel darah merah yang lebih rendah atau kurang hemoglobin (bahan merah yang bergabung dengan oksigen dan membawanya ke seluruh badan) di dalam setiap sel darah merah daripada biasa. Walaupun terdapat beberapa sebab anemia, ia sering disebabkan oleh kekurangan zat besi yang berterusan. Amalan standard untuk mencegah atau merawat anemia pada wanita adalah pengambilan suplemen zat besi setiap hari (kadang kala digabungkan dengan asid folik serta vitamin dan mineral lain) selama tiga bulan. Walau bagaimanapun, ia sering dikaitkan dengan kesan sampingan seperti loya atau sembelit. Suplemen berjeda (iaitu, pengambilan suplemen satu, dua atau tiga kali seminggu pada hari-hari yang tidak berturut-turut) telah dicadangkan sebagai alternatif yang berkesan dan selamat berbanding suplemen harian.
Mengapa ini penting?
Wanita dengan anemia mungkin mempunyai tenaga yang kurang untuk kerja fizikal dan menjadi lebih cenderung kepada jangkitan. Kebanyakan wanita di seluruh dunia memasuki kehamilan dengan anemia, menjadikan mereka lebih berisiko untuk mempunyai bayi dengan berat-lahir rendah dan komplikasi lain semasa proses bersalin.
Sesetengah ahli sains percaya bahawa pengambilan zat besi beberapa kali seminggu - bukannya setiap hari - boleh membantu wanita dengan anemia berasa lebih baik dan meningkatkan hemoglobin mereka tanpa memberi mereka banyak kesan sampingan. Jika wanita mempunyai kesan sampingan yang lebih sedikit, mereka mungkin lebih sering mengambil suplimen zat besi secara lebih teratur dan untuk tempoh yang lebih lama.
Bukti apa yang pengulas jumpai?
Pengulas mengkaji bukti pada Februari 2018. Pengulas memasukkan 25 percubaan rawak terkawal (satu jenis eksperimen dengan peserta secara rawak dibahagikan kepada satu atau lebih kumpulan rawatan) melibatkan 10,996 wanita. Pengulas masukkan kajian-kajian yang memeriksa di antara pemberian tambahan zat besi berjeda berbanding dengan tanpa intervensi, plasebo (pil sulih) atau tambahan zat besi sama yang diberikan setiap hari. Kebanyakan kajian telah dilaksanakan di persekitaran sekolah dan kebanyakannya dibiayai oleh organisasi antarabangsa, universiti, dan kementerian kesihatan di dalam negara. Kira-kira satu pertiga daripada kajian yang dimasukkan tidak menyatakan sumber pembiayaan.
Penemuan menunjukkan bahawa wanita yang menerima tambahan zat besi berjeda sahaja, atau dalam kombinasi dengan asid folik atau nutrien lain, kurang berkemungkinan menjadi anemik berbanding wanita yang tidak menerima tambahan zat besi atau plasebo. Mereka juga mempunyai kepekatan yabg kebih tinggi bagi hemoglobin dan ferritin (protein yang membawa zat besi).
Penemuan menunjukkan bahawa tambahan zat besi berjeda adalah berkesan sebagaimana pemberian secara harian dalam mengurangkan prevalens anemia dan meningkatkan kepekatan hemoglobin, dengan kesan sampingan yang kurang. Ini mungkin telah mengurangkan risiko kekurangan zat besi juga, tetapi tidak berpengaruh pada peningkatan kepekatan feritin lebih daripada dos harian.
Pengulas mendapati amat sedikit bukti berkaitan kesan tambahan zat besi berjeda berbanding dengan plasebo atau tambahan zat besi harian ke atas anemia kurang ferum, penyebab morbiditi keseluruhan, hasil penyakit, kepatuhan, produktiviti ekonomi, dan prestasi kerja.
Apakah maksud ini?
Tambahan zat besi berjeda pada wanita yang datang haid mungkin intervensi yang berkesan untuk mengurangkan anemia dan meningkatkan kepekatan hemoglobin berbanding dengan tiada rawatan, plasebo atau pemberian zat besi harian. Tambahan zat besi berjeda mungkin dikaitkan dengan kesan sampingan yang kurang berbanding dengan pemberian tambahan zat besi harian. Penemuan ini tidak terjejas sama ada tambahan zat besi diberikan sekali atau dua kali seminggu, untuk tempoh kurang atau lebih daripada tiga bulan, mengandungi kurang atau lebih daripada 60 mg unsur besi setiap minggu, atau diberikan kepada populasi dengan tahap anemia yang berbeza pada garis dasar (titik permulaan untuk perbandingan). Asas bukti secara keseluruhannya adalah berkualiti rendah.
Diterjemah oleh Nor Zairina Zainal (Institut Perubatan & Pergigian Termaju, USM Penang). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my