Apakah tujuan ulasan ini?
Kami mengulas penulisan secara sistematik untuk melihat sekiranya pemberian penjagaan akhir hayat di rumah mengurangkan kemungkinan kematian di hospital dan apakah kesannya terhadap kepuasan pesakit dan penjaga dan kos perkhidmatan kesihatan, berbanding dengan dimasukkan ke hospital atau hospis. Ini adalah kemas kini kelima bagi ulasan asal.
Mesej utama
Orang yang menerima penjagaan akhir hayat di rumah adalah lebih cenderung untuk meninggal di rumah. Terdapat sedikit data mengenai impak perkhidmatan akhir hayat di rumah terhadap ahli keluarga dan penjaga awam.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Beberapa negara telah melabur dalam perkhidmatan kesihatan untuk menyediakan penjagaan di rumah untuk orang dengan penyakit terminal yang ingin meninggal di rumah. Keutamaan orang awam dan orang dengan penyakit terminal didapati menyokong hal ini, kerana kebanyakan orang menunjukkan bahawa mereka mahu menerima penjagaan akhir hayat di rumah.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Kami menyertakan empat kajian dalam ulasan kami. Kami mendapati bahawa orang yang menerima penjagaan akhir hayat di rumah adalah lebih cenderung untuk meninggal di rumah. Kemasukan ke hospital semasa menerima penjagaan akhir hayat di rumah adalah berbeza antara kajian. Orang yang menerima penjagaan akhir hayat di rumah mungkin sedikit lebih berpuas hati selepas satu bulan. Impak penjagaan akhir hayat di rumah terhadap penjaga, kakitangan penjagaan kesihatan dan kos perkhidmatan kesihatan adalah tidak dapat dipastikan. Tiada data mengenai kos kepada peserta dan keluarga mereka.
Seberapa terkinikah ulasan ini?
Kami mencari kajian sehingga 18 Mac 2020.
Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my