Rawatan antibiotik untuk Stenotrophomonas maltophilia dalam kalangan pesakit sistik fibrosis

Soalan ulasan

Kami telah mengulas bukti terhadap kesan antibiotik dalam kalangan pesakit sistik fibrosis yang dijangkiti dengan Stenotrophomonas maltophilia.

Latar belakang

Stenotrophomonas maltophilia adalah sejenis bakteria yang mempunyai kerintangan terhadap beberapa antibiotik dan sejak 10 tahun yang lalu ia dijumpai dengan lebih kerap dalam paru-paru pesakit sistik fibrosis. Jangkitan jangka panjang dengan Stenotrophomonas maltophilia telah dikaitkan dengan jangkitan paru-paru. Walau bagaimanapun, pada masa ini, adalah tidak jelas jika pesakit sistik fibrosis patut dirawat untuk jangkitan paru-paru ini apabila ia dikenal pasti. Tujuan ulasan ini adalah untuk menentukan sama ada rawatan dengan kombinasi antibiotik yang berbeza untuk Stenotrophomonas maltophilia akan meningkatkan fungsi paru-paru atau mengurangkan kekerapan kemasukan ke hospital dalam kalangan pesakit sistik fibrosis. Kami juga mahu mengulas kesan rawatan untuk jangkitan jangka masa panjang Stenotrophomonas maltophilia untuk mengeluarkannya sepenuhnya daripada paru-paru pesakit sistik fibrosis. Berikut ialah kemas kini ulasan yang diterbitkan sebelum ini.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 03 Mac 2020.

Ciri-ciri kajian

Kami tidak menemui sebarang kajian rawak terkawal (kajian yang mana orang yang mengambil bahagian dimasukkan ke dalam kumpulan rawatan yang berbeza secara rawak keseluruhannya) yang boleh disertakan dalam ulasan ini. Kami telah menemui satu kajian rawatan antibiotik untuk eksaserbasi pulmonari (penyebaran penyakit di saluran udara) yang melibatkan orang yang dijangkiti dengan Stenotrophomonas maltophilia, tetapi orang dalam kajian tersebut juga mempunyai jangkitan disebabkan bakteria lain dan kami tidak dapat memperoleh data yang berasingan untuk penyebab jangkitan yang berbeza.

Keputusan utama

Kajian rawak terkawal adalah diperlukan untuk memaklumkan pengamal perubatan sama ada mereka patut merawat jangkitan Stenotrophomonas maltophilia dalam kalangan pesakit sistik fibrosis. Sementara itu, pengamal perubatan perlu menggunakan pertimbangan klinikal mereka apabila mempertimbangkan soalan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information