Latar belakang
Kerosakan otak selepas strok adalah kompleks, dan terdiri daripada kerosakan langsung dan tertunda. Gangguan tahap besi tempatan mungkin berkaitan dengan kerosakan otak yang tertunda. Oleh itu, kaedah menghadkan kesan toksik zat besi adalah sasaran yang berpotensi bagi rawatan orang yang mengalami strok. Ubat-ubatan besi-chelating mampu mengikat zat besi yang berlebihan dalam darah dan tisu tempatan, dan dapat mengurangkan pengumpulan zat besi dan kecederaan otak yang berkaitan dengan zat besi. Dalam kajian haiwan, ubat besi-chelating terbukti melindungi sel otak setelah terjadinya strok.
Tarikh carian
Pencarian yang dikemas kini dilakukan pada 2 September 2019.
Ciri-ciri kajian
Kami mengenal pasti dua percubaan, dengan jumlah 333 peserta, yang menyelidiki keberkesanan hasil klinikal terapi chelation besi dengan deferoxamine untuk strok akut. Kedua-dua percubaan mengkaji kesannya pada orang yang mengalami pendarahan di otak, subset strok akut.
Keputusan utama
Dengan batasan bahawa kajian tidak dapat dikumpulkan, data tidak menunjukkan perbezaan hasil neurologi yang baik antara kumpulan. Kedua-dua kajian melaporkan bahawa pemberian deferoxamine adalah selamat. Pembentukan edema di sekitar hematoma sedikit berkurang dalam kumpulan deferoxamine dalam satu kajian, tetapi tidak pada yang lain.
Kepastian bukti
Kepastian bukti penggunaan deferoxamine untuk peningkatan hasil neurologi bagi pendarahan intraserebral spontan adalah rendah. Ini berdasarkan dua kajian kecil dengan tindakan lanjut yang pendek, dan dengan perbezaan dalam pengukuran hasil. Terdapat bukti terhad berkenaan kesan sampingan. Nilai tambahan terapi besi-chelating pada orang dengan strok iskemia atau pendarahan subarachnoid masih belum diketahui.
Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my