Perencat pengambilan semula serotonin terpilih untuk pemulihan strok

Soalan ulasan
Apakah kesan ubat perencat pengambilan semula serotonin terpilih (SSRI) terhadap pemulihan daripada strok?

Latar belakang
Strok adalah punca utama kehilangan upaya. Kehilangan upaya berkaitan dengan strok boleh merangkumi kesukaran dengan tugas harian seperti urusan tandas, mandi, dan berjalan kaki. Kadangkala kehilangan upaya adalah sangat parah sehingga seseorang bergantung kepada orang lain untuk melakukan aktiviti asas (ini dikenali sebagai 'pergantungan'). Kami telah menerbitkan kemas kini Ulasan Cochrane ini sebelum ini yang bertujuan untuk mengetahui sama ada SSRI (kelas ubat yang biasanya digunakan untuk merawat masalah mood, yang berfungsi dengan mengubah tahap bahan kimia dalam otak) mungkin meningkatkan pemulihan selepas strok.

Sejak kemas kini pada 2019, dua kajian besar kini telah disiapkan dan oleh itu adalah perlu untuk melakukan kemas kini lanjut dalam ulasan ini. Dalam analisis utama kami, kami menyertakan kajian berkualiti tinggi sahaja, iaitu yang menggunakan kaedah yang ketat untuk mengelakkan berat sebelah (seperti orang yang menilai hasil yang menyedari sama ada pesakit strok menerima ubat aktif atau plasebo). Kami merujuk kepada kajian ini sebagai kajian 'risiko berat sebelah yang rendah'.

Kami juga ingin mengetahui sama ada SSRI mempunyai manfaat lain, contohnya memperbaiki tahap keterukan sebarang kelemahan pada kaki dan tangan, mood, kegelisahan, kognisi, kualiti hidup, dan sama ada SSRI dikaitkan dengan kesan sampingan seperti pendarahan atau sawan.

Ciri-ciri kajian
Secara keseluruhan kami menemui 76 kajian yang merekrut 13,029 mangsa strok dalam tempoh satu tahun selepas strok mereka. Terdapat julat usia yang luas. Kira-kira separuh daripada kajian itu memerlukan para peserta mengalami kemurungan untuk dilibatkan dalam kajian. Tempoh, ubat, dan dos adalah berbeza-beza antara kajian. Namun, hanya enam kajian ini yang mempunyai risiko berat sebelah yang rendah; peserta dalam kajian ini tidak perlu mengalami kemurungan untuk dilibatkan dalam kajian, dan mereka semua direkrut sejurus selepas strok.

Keputusan utama
Apabila kami menggabungkan data daripada enam kajian ini pada risiko berat sebelah yang rendah, SSRI tidak mengurangkan ketidakupayaan atau pergantungan. SSRI mengurangkan kira-kira satu perempat risiko kemurungan masa depan, tetapi membawa kepada sedikit peningkatan dalam risiko sawan dan juga meningkatkan risiko patah tulang. Bukti adalah terkini sehingga Januari 2021.

Kualiti bukti
Kami sangat yakin bahawa keputusan boleh dipercayai untuk kesan pada ketidakupayaan, kebergantungan dan patah tulang, dan cukup yakin tentang kesan ke atas risiko sawan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information