Urut, refleksologi dan kaedah manual lain untuk menguruskan kesakitan dalam persalinan

Apakah isunya?

Ulasan Cochrane ini menilai sama ada urut, refleksologi dan terapi manual lain membantu mengurangkan sakit dan memperbaiki pengalaman wanita dalam melahirkan anak. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini (tarikh carian: 30 Jun 2017).

Mengapa ini penting?

Sakit persalinan boleh menjadi sengit, dengan ketegangan, kebimbangan dan ketakutan menjadikannya lebih buruk. Ramai wanita ingin melahirkan tanpa menggunakan ubat seperti narkotik atau epidural, dan berminat dengan terapi komplementari untuk membantu mereka menguruskan sakit persalinan.

Dalam ulasan ini kami melihat jika urut, refleksologi dan kaedah manual lain berkesan. Terapi komplementari lain seperti akupunktur, teknik rohani dan jasmani, hipnosis dan aromaterapi telah dikaji dalam ulasan Cochrane yang lain. Urut melibatkan manipulasi tisu lembut badan dan boleh dilakukan oleh bidan atau pasangan. Ia membantu wanita tenang dan mengurangkan ketegangan yang seterusnya dapat mengurangkan sakit dalam persalinan. Refleksologi adalah manipulasi lembut atau menekan pada bahagian kaki tertentu untuk menghasilkan kesan di tempat lain di dalam badan. Kaedah manual lain termasuk pek hangat, osteopati, shiatsu dan pengimbangan sifar. Adalah penting untuk menilai sama jika terapi ini berkesan dan selamat, untuk membolehkan wanita membuat keputusan yang tepat mengenai penjagaan mereka.

Apakah bukti yang kami perolehi?

Ulasan terkini ini memasukkan 14 kajian. Kami dapat menggunakan data dari 10 kajian, melibatkan sejumlah 1055 wanita. Kami tidak menemui sebarang kajian mengenai terapi refleksologi, osteopati, shiatsu dan pengimbangan sifar.

Di dalam pelbagai kajian yang disertakan, urut diberikan sama ada oleh teman kelahiran wanita, bidan pelatih, ahli fisioterapi atau ahli terapi urut (walaupun beberapa kajian tidak melaporkan siapa yang membuat urutan). Tiga kajian melibatkan kursus prakelahiran dua hingga tiga jam yang dihadiri oleh wanita dan pasangan mereka, dan disampaikan oleh pengamal yang berkelayakan. Dalam tiga kajian, intervensi disampaikan oleh pengamal kesihatan yang berkelayakan (ahli terapi urut, ahli fisioterapi atau jururawat/penyelidik dengan kelayakan yang tidak khusus). Dalam satu kajian, jururawat mengajar pasangan wanita di wad persalinan. Terdapat pelaporan yang tidak cukup mengenai kelayakan pengamal yang mengajar urutan.

Kami mendapati urut dan pek haba mungkin membantu wanita mengurus intensiti sakit persalinan pada peringkat pertama ketika serviks meluas. Walau bagaimanapun, kualiti bukti ini adalah sangat rendah. Kesan urut pada kelahiran vagina yang dibantu, kadar pembedahan caesarean, tempoh persalinan dan penggunaan ubat untuk melegakan sakit adalah tidak jelas, dan kualiti bukti juga sangat rendah. Dua kajian kecil menunjukkan kepuasan meningkat dengan kelahiran anak, dan perasaan boleh kawal yang lebih baik bagi wanita yang menerima urutan.

Pek hangat dikaitkan dengan pengurangan sakit pada peringkat pertama persalinan dan pengurangan tempoh persalinan (kualiti bukti yang sangat rendah).

Apakah maksudnya?

Urut boleh membantu wanita menghadapi sakit persalinan dan boleh memberi pengalaman kelahiran yang lebih baik, dan pek hangat dan kaedah termal dapat membantu kesakitan. Walau bagaimanapun, kualiti bukti pada umumnya rendah atau sangat rendah, disebabkan oleh kajian yang kecil dan bilangan peserta wanita yang tidak cukup. Penemuan ini menekankan keperluan untuk penyelidikan lanjut mengenai topik ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information