Perencat pelengkap untuk degenerasi makular yang berkaitan dengan usia

Tajuk ringkasan bahasa mudah

Apakah manfaat dan risiko ubat-ubatan yang merencat pelengkap dalam merawat degenerasi makular yang berkaitan dengan usia (AMD)?

Mesej utama

 • Selepas setahun rawatan, pegcetacoplan (ubat yang merencat pelengkap) nampaknya dapat melambatkan perkembangan tompokan retina berpenyakit dalam mata orang yang mengalami AMD jenis 'kering' yang serius, namun buat masa ini, tiada bukti bahawa ia melambatkan kehilangan deria penglihatan atau meningkatkan kualiti hidup.

 • Merawat AMD 'kering' dengan pegcetacoplan dan ubatan lain yang merencat pelengkap boleh mengakibatkan lebih banyak kes AMD 'basah', di mana saluran darah tidak normal tumbuh di lapisan retina; ini boleh menyebabkan kebocoran darah atau cecair, dan menyebabkan kehilangan penglihatan yang mendadak, tetapi boleh dirawat jika dikesan cepat.

 Penyelidikan dalam bidang ini pada masa akan datang harus memberikan tumpuan terhadap pilihan dan kesan yang penting untuk pembuat keputusan, seperti:

 - manfaat merencat pelengkap dengan kaedah yang berbeza dan untuk tempoh masa yang berbeza;

 - potensi mudarat dan kos;

 - kesan yang relevan untuk pesakit.

Apakah itu degenerasi makular yang berkaitan dengan usia?

AMD merupakan punca utama kehilangan deria penglihatan di kalangan orang dewasa, yang menjejaskan hampir 200 juta orang di seluruh dunia. Terdapat dua jenis AMD: 'kering' dan 'basah'. AMD disebabkan oleh sekurang-kurangnya sebahagian punca genetik yang tidak difahami sepenuhnya atau tidak boleh dirawat. Kebanyakan perubahan genetik yang dikaitkan dengan AMD didapati mempengaruhi pelengkap, yang merupakan peranan utama dalam sistem imun kita. Apabila pelengkap terlampau aktif, ia boleh mencederakan retina (lapisan dalam mata yang sensitif terhadap cahaya) lalu menyebabkan AMD.

Bagaimanakah degenerasi makular yang berkaitan dengan usia dapat dirawat?

Buat masa ini, tiada ubatan yang dapat menyembuhkan AMD, dan walaupun terdapat rawatan untuk AMD jenis 'basah', tidak terdapat terapi untuk kebanyakan 95% pesakit yang mengalami AMD jenis 'kering'. Walau bagaimanapun, sejenis pilihan rawatan baharu, pegcetacoplan, yang merencat pelengkap, baru-baru ini telah diluluskan di AS untuk merawat AMD 'kering' yang serius.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada merencat pelengkap dengan menggunakan ubat-ubat yang berbeza adalah lebih baik daripada rawatan palsu atau plasebo (rawatan tiruan) untuk mencegah atau memperlahankan perkembangan AMD.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang meyelidik perencat pelengkap berbanding dengan rawatan palsu atau plasebo di kalangan penghidap AMD di seluruh dunia. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami mengenal pasti 10 kajian yang melibatkan 4052 orang peserta yang menghidap atrofi geografi (jenis AMD 'kering' yang serius) yang telah dijalankan selama sekurang-kurangnya setahun. Kajian terbesar adalah di kalangan 1881 orang dan kajian terkecil adalah di kalangan 30 orang. Kajian-kajian tersebut telah dijalankan di negara-negara serata dunia; kebanyakannya dilakukan di Amerika Syarikat atau di Eropah. Dua kajian dibiayai oleh syarikat farmaseutikal. Hampir semua ubatan yang merencat pelengkap yang dikaji diberikan secara suntikan ke dalam mata (intravitreal).

Keputusan untuk dua ubatan, lampalizumab dan pegcetacoplan, masing-masing telah dilaporkan dalam tiga buah kajian. Kami menggabungkan keputusan kajian-kajian ini untuk membantu kami membina gambaran tentang keberkesanan sebenar rawatan-rawatan ini apabila diberikan setiap bulan dan selang setiap bulan. Kami juga meneliti keputusan semua kajian lain, termasuk ubatan yang dipanggil avacincaptad pegol.

Keputusan utama

Kami mendapati bahawa pegcetacoplan yang diberikan setiap bulan atau selang setiap bulan lain mengurangkan perkembangan tompokan retina yang berpenyakit, tetapi mungkin memberikan sedikit atau tiada perbezaan terhadap kehilangan deria penglihatan. Kami juga mendapati bahawa avacincaptad pegol boleh mengurangkan perkembangan retina yang berpenyakit, tetapi juga mungkin memberikan sedikit atau tiada perbezaan terhadap kehilangan deria penglihatan. Kami mendapati bahawa lampalizumab memberikan sedikit atau tiada perbezaan terhadap sebarang hasil keputusan yang berkepentingan untuk pesakit atau doktor mereka.

Seperti ubat-ubatan lain yang dimasukkan ke dalam mata, kami mendapati bahawa kebanyakan ubat yang merencat pelengkap mungkin berkait dengan peningkatan kecil dalam risiko jangkitan atau keradangan mata yang serius. Kami juga mendapati bahawa perencatan pelengkap di dalam mata dalam kebanyakan kajian mungkin menyebabkan peningkatan dalam risiko pertumbuhan saluran darah yang tidak normal di dalam retina; ini boleh menyebabkan kebocoran darah atau cecair dan menyebabkan kehilangan penglihatan yang mendadak tetapi boleh dirawat jika dikesan cepat.

Apakah batasan bukti?

Kami yakin dengan keputusan kami mengenai lampalizumab dan pegcetacoplan untuk merawat atrofi geografi. Peserta-peserta kajian telah diagihkan secara rawak ke dalam kelompok rawatan yang berbeza. Ini bermaksud bahawa perbezaan antara kelompok adalah disebabkan oleh perbezaan antara rawatan dan bukannya perbezaan antara peserta. Lebih banyak maklumat diperlukan untuk meningkatkan tahap keyakinan kami terhadap manfaat anatomi avacincaptad pegol, tetapi bukti awal adalah menggalakkan.

Penemuan ini hanya berhubung dengan rawatan menggunakan ubat intravitreal setakat paling lama setahun. Tidak semua kajian memberikan data tentang keseluruhan hasil keputusan yang pesakit dan doktor mereka mungkin mahukan. Peserta dalam kajian-kajian ini mengalami AMD 'kering' yang serius, jadi keputusan kami mungkin tidak bermanfaat bagi orang yang mengalami AMD yang kurang serius atau mereka yang mengalami AMD jenis 'basah'.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemas kini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini setakat 29 Jun 2022.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).

Tools
Information