Kami menjalankan ulasan sistematik Cochrane 12 kajian rawak terkawal yang menilai keberkesanan program universal yang berasaskan keluarga untuk pencegahan penyalahgunaan alkohol dalam kalangan orang muda. Dalam suasana keluarga, pencegahan universal biasanya dalam bentuk menyokong pembangunan kemahiran keibubapaan termasuk sokongan ibu bapa, asuhan tingkah laku, menetapkan sempadan yang jelas atau peraturan, dan pemantauan ibu bapa. Kemahiran sosial dan rintangan rakan sebaya, pembangunan norma-norma tingkah laku dan afiliasi positif rakan sebaya juga dapat ditangani dengan program pencegahan universal berasaskan keluarga.
Kebanyakan kajian dalam ulasan ini melaporkan kesan positif program universal yang berasaskan keluarga untuk pencegahan penyalahgunaan alkohol dalam kalangan orang muda. Dua kajian, masing-masing dengan saiz sampel yang besar, melaporkan tiada kesan. Kesimpulannya, dalam ulasan sistematik Cochrane ini kami mendapati bahawa kesan intervensi pencegahan berasaskan keluarga adalah kecil tetapi secara umumnya konsisten dan juga berterusan ke dalam jangka sederhana hingga lebih panjang.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.