Apakah ketepatan diagnostik pementasan laparoskopi berikutan imbasan CT untuk menilai sama ada kanser pankreas dan periampullari boleh direseksi?

Latar belakang

Pankreas adalah organ yang terletak di bahagian abdomen berhampiran dengan persimpangan perut dan usus kecil. Ia merembeskan jus pencernaan yang diperlukan untuk penghadaman semua bahan makanan. Jus pencernaan yang dirembeskan dalam pankreas mengalir ke bahagian atas usus kecil melalui saluran pankreas. Saluran hempedu adalah tiub yang mengalirkan hempedu dari hati dan pundi hempedu. Saluran pankreas dan hempedu berkongsi laluan yang sama sebelum ia mengalir ke dalam usus kecil. Kawasan ini dipanggil kawasan periampullari. Pembedahan pembuangan adalah satu-satunya rawatan yang berpotensi untuk menyembuhkan kanser yang timbul daripada kawasan pankreas dan periampullari. Sebilangan besar pesakit menjalani pembedahan penerokaan perut terbuka besar yang tidak diperlukan (laparotomi) kerana imbasan CT mereka telah meremehkan penyebaran kanser. Jika semasa pembedahan terbuka besar, kanser didapati merebak di dalam perut, pesakit dirujuk untuk rawatan alternatif seperti kemoterapi, yang tidak menyembuhkan kanser tetapi boleh meningkatkan kelangsungan hidup.

Pembedahan perut terbuka besar ini boleh dielakkan jika penyebaran kanser di dalam perut diketahui, dikenali sebagai 'staging' kanser. Ujian minimum yang digunakan untuk staging biasanya imbasan tomografi terkira (CT). Walau bagaimanapun, imbasan CT boleh merendahkan tahap kanser, iaitu ia meremehkan penyebaran kanser. Laparoskopi, iaitu prosedur di mana teleskop kecil dimasukkan ke dalam perut melalui insisi pembedahan kecil (lubang kunci), boleh mengesan penyebaran yang tidak dikenal pasti pada imbasan CT. Kajian yang berbeza melaporkan ketepatan laparoskopi yang berbeza dalam menilai sama ada kanser boleh dibuang. Oleh itu, matlamat kami adalah untuk mengetahui purata ketepatan diagnostik laparoskopi untuk peringkat kanser pankreas dan periampullari yang dianggap boleh ditanggalkan selepas imbasan CT. Ulasan ini mengemaskini ulasan kami yang terdahulu.

Glosari istilah disediakan dalam Lampiran 1 .

Ciri-ciri kajian

Kami menjalankan carian literatur yang menyeluruh untuk mengenal pasti kajian yang diterbitkan sehingga 15 Mei 2016. Kami mengenal pasti 16 kajian yang melaporkan maklumat mengenai 1146 orang yang menghidapi kanser pankreas atau periampullari yang dianggap layak untuk pembedahan berpotensi kuratif berdasarkan pementasan imbasan CT. Kajian-kajian ini menilai laparoskopi diagnostik dan membandingkan keputusan prosedur dengan diagnosis akhir oleh pakar bedah bahawa kanser tidak boleh direseksi semasa pembedahan abdomen utama ataupun pemeriksaan di bawah mikroskop.

Kualiti bukti

Semua kajian adalah tidak jelas dari segi kualiti metodologi dalam satu atau lebih aspek, yang mungkin menjejaskan kesahihan penemuan kami.

Keputusan utama

Daripada mereka dengan apa yang dicadangkan oleh CT nampaknya merupakan kanser yang berpotensi boleh disembuhkan melalui pembedahan, peratusan di mana kanser yang lebih meluas ditemui pada peringkat lanjut dengan laparoskopi diagnostik atau laparotomi adalah antara 17% dan 82% merentasi kajian. Peratusan median orang di mana penyebaran kanser tidak dikesan oleh imbasan CT ialah 41%. Menambahkan laparoskopi berperingkat pada imbasan CT mungkin mengurangkan bilangan orang dengan penyakit tidak boleh alih yang menjalani pembedahan besar yang tidak perlu kepada 20% berbanding mereka yang menjalani pembedahan besar yang tidak perlu selepas imbasan CT sahaja (41%). Ini bermakna bahawa menggunakan laparoskopi diagnostik boleh mengurangkan dengan separuh kadar pembedahan terbuka besar yang tidak perlu pada orang yang menjalani pembedahan besar untuk kanser pankreas yang berpotensi boleh disembuhkan melalui pembedahan.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Universiti Malaya). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.

Tools
Information