Lawatan ke rumah pada awal tempoh selepas kelahiran bayi

Apakah isunya?

Masalah kesihatan bagi ibu dan bayi lazim berlaku atau menjadi jelas dalam minggu-minggu selepas kelahiran. Bagi ibu-ibu, ini termasuklah perdarahan postpartum (pengganti kehilangan darah berlebihan), demam dan jangkitan, sakit abdomen dan belakang, discaj abnormal (discaj faraj berlebihan atau berbau), tromboembolisme (klot darah), dan komplikasi saluran kencing (tidak dapat mengawal desakan untuk kencing), serta masalah kesihatan psikologi dan mental seperti depresi postnatal. Ibu juga mungkin perlukan sokongan untuk memulakan penyusuan susu ibu. Bayi berisiko mati akibat jangkitan (bayi mungkin terjejas teruk oleh jangkitan), asfiksia (kesukaran bernafas, akibat kurang oksigen), dan kelahiran pramasa (dilahirkan pramatang).

Mengapakah ini penting?

Lawatan ke rumah oleh profesional kesihatan atau penyokong awam di awal tempoh postpartum mungkin mencegah masalah kesihatan daripada menjadi jangka panjang, dengan kesan kepada wanita, bayi dan keluarga mereka. Ulasan ini melihat pelbagai jadual lawatan ke rumah dalam minggu-minggu selepas kelahiran.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami menyertakan 16 kajian rawak dengan data 12,080 wanita. Sesetengah kajian memfokus kepada pemeriksaan fizikal ibu dan bayi yang baru lahir, sementara kajian lain menyediakan sokongan penyusuan susu ibu, dan satu lagi kajian menyertakan sokongan praktikal kerja rumah tangga dan penjagaan anak. Kajian-kajian dilakukan di kedua-dua negara bersumber tinggi dan bersumber rendah di mana wanita yang menerima rawatan biasa mungkin tidak mendapat penjagaan tambahan postnatal selepas keluar awal dari hospital.

Kajian-kajian memfokus tiga jenis perbandingan: jadual yang melibatkan lebih berbanding kurang lawatan postnatal ke rumah (lima kajian), jadual yang melibatkan pelbagai model penjagaan (tiga kajian), dan pemeriksaan postnatal di rumah berbanding di fasiliti kesihatan (lapan kajian). Dalam semua kecuali empat kajian yang disertakan, penjagaan postnatal di rumah disampaikan oleh profesional penjagaan kesihatan. Untuk kebanyakan hasil kami, hanya satu atau dua kajian menyediakan data. Secara keseluruhan, keputusan kami tidak konsisten.

Bukti sangat tidak pasti tentang sama ada lawatan ke rumah mengurangkan kematian bayi baru lahir atau masalah kesihatan serius bagi ibu. Kesihatan fizikal dan psikologi wanita tidak bertambah baik dengan jadual lawatan ke rumah yang lebih intensif walaupun penjagaan individu meningkatkan kesihatan mental wanita dalam satu kajian dan kepuasan ibu sedikit lebih baik dalam dua kajian. Secara keseluruhan, bayi kurang berkemungkinan untuk mendapat penjagaan perubatan tambahan jika ibu mereka menerima lebih banyak lawatan postnatal ke rumah. Lebih banyak lawatan ke rumah mungkin menggalakkan lebih ramai wanita untuk menyusui bayi mereka secara eksklusif dan wanita lebih berpuas hati dengan penjagaan postnatal. Pelbagai hasil yang dilaporkan dalam kajian-kajian yang berlainan, bagaimana hasil diukur, dan intervensi yang bervariasi serta keadaan kawalan dalam kajian-kajian menjadi batasan ulasan ini. Kepastian bukti secara amnya adalah rendah atau sangat rendah mengikut kriteria GRADE.

Apakah maksudnya?

Meningkatkan bilangan lawatan postnatal ke rumah mungkin mempromosi kesihatan bayi dan penyusuan susu ibu eksklusif dan penjagaan lebih khusus mungkin memperbaik hasil bagi wanita. Lebih banyak penyelidikan diperlukan sebelum sebarang jadual penjagaan postnatal boleh disyorkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information