Intervensi krisis untuk orang dengan kecelaruan personaliti pinggiran

Apakah kecelaruan personaliti pinggiran?

Kecelaruan personaliti pinggiran (BPD) adalah gangguan mental kompleks dan teruk yang mempengaruhi kira-kira 2% populasi umum. Ramai orang yang didiagnosis dengan BPD mempunyai hubungan yang tidak stabil, sangat bimbang dan perubahan emosi yang sangat cepat, yang membawa kepada krisis yang kerap. Krisis ini adalah tempoh kritikal, kerana ia boleh menyebabkan peningkatan penggunaan ubat dan alkohol, kurang hubungan dengan profesional kesihatan dan mudarat kendiri, yang boleh mengancam nyawa.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Sehingga kini, sedikit yang diketahui mengenai apa yang dapat membantu orang yang didiagnosis dengan BPD ketika mereka mengalami krisis akut. Dalam ulasan ini, kami ingin mengetahui sama ada intervensi krisis berkesan untuk orang yang didiagnosis dengan BPD dengan melihat pada bukti dari kajian rawak terkawal (di mana beberapa peserta (kumpulan intervensi) dibahagikan secara rawak untuk menerima rawatan eksperimen, dan yang lain (kumpulan kawalan) dibahagikan secara rawak untuk menerima rawatan palsu (plasebo), tiada rawatan atau rawatan biasa).

Apakah yang kami temui?

Kami telah mencari pangkalan data perubatan dan menemui dua kajian yang menangani masalah ini. 

Dalam satu kajian, kumpulan intervensi mempunyai rancangan krisis bersama (dokumen yang menjelaskan pilihan rawatan mereka untuk pengurusan krisis masa depan, yang mereka bawa bersama dan rujuk sekiranya berlaku krisis). Dokumen ini serupa dengan pelan tindakan pemulihan kesihatan, tetapi ditulis bersama profesional kesihatan mental, dan bukannya hanya oleh individu. Kumpulan intervensi juga mempunyai akses kepada penjagaan biasa, yang disediakan oleh pasukan kesihatan mental komuniti dan disertakan hubungan tetap dengan ahli pasukan yang diperuntukkan. Kumpulan kawalan menerima penjagaan biasa sahaja.

Dalam kajian yang lain, kumpulan intervensi boleh memilih untuk dimasukkan ke hospital kesihatan mental sehingga tiga hari pada masa krisis (kemasukan sekejap), selain menerima penjagaan biasa. Kumpulan kawalan menerima penjagaan biasa sahaja. 

Majlis penyelidikan kerajaan dan yayasan bukan berdasarkan keuntungan membiayai kajian tersebut.

Keputusan utama

Dalam kajian rancangan krisis bersama, tidak ada bukti yang jelas mengenai kesan pada kematian, mudarat kendiri, masa yang dihabiskan di hospital kesihatan mental, dan kualiti hidup. Dokumen bertulis mungkin lebih berkesan kosnya daripada rawatan biasa, tetapi penulis kajian tidak yakin tentang ini.

Kajian kemasukan ringkas tidak menunjukkan bukti jelas mengenai perbezaan antara kemasukan sekejap dan rawatan biasa untuk kematian, mudarat kendiri, percubaan bunuh diri, melakukan keganasan, dan kemasukan ke hospital kesihatan mental.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai keyakinan yang sedikit terhadap bukti, kerana ia tidak meliputi semua orang yang kami minati, ia hanya berdasarkan satu kajian, dan para peserta melaporkan beberapa hasil sendiri.

Memandangkan krisis pada orang yang didiagnosis dengan BPD adalah tempoh yang membimbangkan dan berpotensi berbahaya yang berkaitan dengan peningkatan risiko bunuh diri, penyelidikan lebih lanjut diperlukan segera untuk meningkatkan pangkalan bukti dalam bidang ini. Penyelidikan ini harus dalam bentuk kajian besar yang direka dengan baik supaya kita boleh yakin dengan kesan intervensi.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Carian selesai pada Januari 2022. 

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Leong Siew Lian (Universiti Monash Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information