Hipnosis untuk pengendalian kesakitan semasa proses bersalin dan melahirkan anak

Apakah isunya?

Pengalaman wanita sakit semasa proses bersalin berubah-ubah dan kompleks. Teknik seperti hipnosis telah dicadangkan sebagai cara untuk membantu wanita menghadapi kesakitan semasa proses bersalin. Hypnosis mewakili satu aspek kesedaran sama seperti berangan-angan dan mengalih tumpuan ke arah dalam serta meningkatkan respons kepada cadangan.Cadangan adalah komunikasi lisan dan bukan lisan, yang boleh mempengaruhi persepsi (seperti mengalami pengecutan), mood atau tingkah laku. Semasa wanita melahirkan anak, hipnosis boleh digunakan dalam pelbagai cara; iaitu menggalakkan ketenangan, sebagai satu cara untuk beralih daripada sakit atau menukar persepsi mereka, sebagai contoh, melihat pengecutan sebagai satu cara merapatkan wanita dengan kelahiran bayi mereka dan bukannya pengalaman kesakitan dan penderitaan yang biasanya dikaitkan dengan kecederaan dan hilang upaya. Wanita boleh dibimbing ke dalam hipnosis oleh pengamal semasa proses bersalin atau individu boleh belajar hipnosis sendiri semasa mengandung, untuk digunakan semasa proses bersalin. Latihan mengenai cara untuk menggunakan hipnosis semasa mengandung ini kadang-kadang ditambah dengan cadangan hipnosis secara rakaman audio .

Mengapa ia penting?

Melahirkan anak adalah peristiwa fizikal, emosi dan sosial yang besar dalam kehidupan seorang wanita. Pengalaman dan pengurusan sakit semasa bersalin adalah isu penting bagi ramai wanita.

Apakah bukti yang kita dapati?

Kami memasukkan sembilan kajian rawak dengan 2954 wanita untuk hipnosis atau untuk penerima kumpulan kawalan; penjagaan contoh, latihan bertenang atau kaunseling sokongan. Dalam lapan kajian, wanita telah dilatih untuk hipnosis diri sendiri semasa mengandung bagi kegunaan semasa proses bersalin. Dalam kajian yang lain, pakar hipnosis turut hadir semasa wanita dalam proses bersalin.

Tiada perbezaan yang jelas antara wanita dalam kumpulan hipnosis dan mereka yang dalam kumpulan kawalan dari segi bilangan kelahiran normal, kepuasan wanita dengan kaedah melegakan kesakitan atau perasaan wanita dalam menghadapi proses bersalin. Walau bagaimanapun, sedikit wanita dalam kumpulan hipnosis mengunakan ubat melegakan kesakitan untuk proses bersalin. Penggunaan epidural tidak berbeza antara kumpulan. Semua bukti daripada keputusan ini didapati berkualiti rendah. Kajian-kajian tersebut juga mengukur pelbagai hasil lain dan tiada perbezaan yang konsisten ditemui.

Apakah maksud ini?

Hipnosis boleh mengurangkan penggunaan ubat tahan sakit semasa bersalin secara keseluruhan, tetapi didapati tidak mengurangkan penggunaan epidural. Wanita yang menggunakan hipnosis tidak lagi cenderung untuk melahirkan melalui faraj secara normal. Pada masa kini, tiada bukti yang cukup untuk mengatakan sama ada hipnosis membantu wanita berasa lebih puas hati mengenai kelegaan kesakitan mereka dalam proses bersalin, atau sama ada ia meningkatkan perasaan mereka menghadapi proses bersalin. Penyelidikan berkualiti tinggi diperlukan lagi dan hendaklah merangkumi penilaian kepuasan wanita dengan kelegaan kesakitan dan menghadapi perasaan dalam proses bersalin Kesimpulan kami mengenai kesan hipnosis ke atas kesakitan semasa bersalin dan melahirkan anak boleh berubah masa depan, dengan kajian berkualiti tinggi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi nila@pmc.edu.my. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information