Colesevelam untuk penyakit kencing manis (Jenis 2)

Colesevelam pada asalnya diluluskan untuk merawat hiperlipidemia (lipid darah tinggi) pada 2000-an tetapi telah terbukti dapat menambahbaikan gula dalam darah juga. Oleh itu, kami menyiasat peranannya dalam pengurusan penyakit kencing manis (jenis 2). Seramai 1450 pesakit telah mengambil bahagian dalam enam kajian yang menyiasat colesevelam. Kajian-kajian adalah di antara 8 hingga 26 minggu. Hanya satu kajian yang kecil membuat perbandingan secara langsung antara colesevelam dan plasebo, lima kajian yang lain pula menggabungkan colesevelam dengan ubat kencing manis yang lain berbanding dengan gabungan plasebo dengan ubat kencing manis lain. Tiada dua kajian yang mempunyai intervensi dan perbandingan kumpulan yang sama. Apabila ditambah dengan ubat kencing manis yang lain, colesevelam menunjukkan penambahbaikan dalam kawalan glukosa darah dan lipid darah. Namun demikian, ia adalah sukar untuk menguraikan kesan colesevelam dengan ubat kencing manis yang lain kerana hanya satu kajian yang membandingkan colesevelam dengan plasebo. Kesan buruk adalah sama: hanya tiga kajian yang melaporkan beberapa episod hipoglisemia yang kurang serius, tiada kesan sampingan yang serius dapat diperhatikan. Tiada kajian yang menyiasat kematian; komplikasi penyakit kencing manis (jenis 2) seperti penyakit mata, penyakit buah pinggang, serangan jantung dan strok; kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan; hasil berfungsi dan kos rawatan. Oleh itu, data jangka panjang ke atas keberkesanan dan keselamatan colesevelam adalah diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information